Tiz Zaqyah Bakal Tamatkan Zaman Bujang Tahun Depan, Bakal Kahwin Dengan Jiran Sendiri
Pelakon, Tiz Zaqyah, 37, mendedahkan bakal menamatkan zaman bujang dan merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan dengan jejaka yang dikenalinya sejak kecil.
Menariknya, lelaki yang berjaya menambat hati Tiz bukan orang asing, sebaliknya rakan lama yang pernah menjadi jiran di kawasan perumahan sama.
“Dia bukan daripada industri hiburan, tapi adik kepada seorang pelakon. Kami sudah lama kenal sejak zaman kanak-kanak lagi.
Keluarga kami pun memang rapat, jadi bila tiba masa raya nanti, tak perlu pening nak fikir balik kampung siapa dulu,” katanya.
Tiz bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi tarikh pernikahan mereka, namun memberitahu kedua-dua keluarga sudah lama saling mengenali dan merestui hubungan tersebut.
Menurut Tiz lagi, hubungan mereka mula menjadi serius sejak setahun lalu selepas lama bersahabat.
“Perasaan itu datang secara semula jadi. Kami banyak persamaan dan mudah serasi bersama. Alhamdulillah, sekarang saya sangat gembira dan tenang.
“Cuma buat masa ini saya belum bersedia untuk mendedahkan identiti dia kerana bimbang dengan penyakit ‘ain’. Insya-Allah, bila sampai waktunya nanti, saya akan kongsi secara rasmi. Doakan yang baik-baik untuk kami,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tiz turut berkongsi pengalamannya dimasukkan ke unit kecemasan baru-baru ini akibat serangan gastrik dan keracunan makanan.
“Saya memang penggemar makanan pedas, tapi tak sangka boleh jadi sampai begitu. Masa kejadian tu, saya muntah, cirit-birit dan badan sangat lemah sampai terpaksa didukung. Rupanya itu kali pertama saya kena gastrik,” ceritanya.
Tiz dirawat di hospital selama beberapa jam sebelum dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan ubat.
“Doktor bagi cuti sakit, tapi saya tolak sebab ada baki penggambaran yang perlu disiapkan,” ujarnya.
