Tayang Badan Berotot, Khai Bahar Akui Tidak Terlepas Jadi Mangsa Fitnah
Penyanyi Khai Bahar mengakui dia tidak terlepas daripada menjadi mangsa fitnah gara-gara kerap memuat naik gambar dan video yang memperlihatkan tubuhnya yang berotot.
Khai berkata, hal tersebut berlaku selepas kelibat jurulatih peribadinya turut terlihat dalam foto yang kebanyakan dikongsi menerusi aplikasi X itu.
“Macam-macam orang fitnah saya, sampai ada yang cakap YTJT (yang tahu je tahu). Saya tak faham kenapa mereka sampai sanggup buat tuduhan sebegitu.
“Tambahan pula, ini bulan Ramadan, eloklah kita jauhi fitnah dan sangka buruk,” katanya.
Bagi Khai, keputusan untuk mendapatkan khidmat jurulatih peribadi adalah untuk memastikan teknik senaman yang dilakukan adalah betul dan berkesan.
“Sebelum ini saya bersenam tanpa pemantauan, jadi saya hentam sahaja. Bila ada jurulatih, barulah saya faham teknik yang betul untuk mendapatkan hasil yang lebih baik,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Khai memberitahu, perkongsian di laman sosial adalah bukan bertujuan menunjuk-nunjuk, sebaliknya mahu memberi motivasi kepada orang lain tentang kesihatan dan juga aktiviti di gimnasium.
“Saya bukan nak acah-acah sado. Sebelum ini, saya memang pernah ke gimnasium, tetapi selepas ibu saya meninggal dunia, saya berehat selama setahun dan berat badan saya mula menyusut.
“Sekarang saya kembali fokus untuk mendapatkan semula bentuk tubuh yang lebih sihat,” jelasnya.