Syifa Melvin Umum Hamil Anak Kedua, Safawi Raikan Di Padang

Pelakon, Syifa Melvin, 31, berkongsi berita gembira dirinya kini sedang hamil cahaya mata kedua hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid.

Perkhabaran manis itu diumumkan Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin menerusi satu hantaran di Instagram.

“Bismillahi MashaAllah, Allah SWT hadirkan seorang lagi amanah untuk dijaga. Zuriat yang akan melengkapi kehidupan kami bertiga dan sahabat sedarah, Sulaiman (anak sulung),” tulisnya penuh syukur.

Syifa turut memohon doa agar segala urusan kehamilan kali ini dipermudahkan dan diberi kesihatan yang baik sepanjang tempoh mengandung.

Terdahulu, Syifa memuat naik foto dirinya bersama kit ujian kehamilan di Instagram untuk tontonan umum.

Menariknya lagi, khabar kehamilan ini turut disahkan lebih awal oleh Safawi yang meraikan jaringan sulungnya bersama pasukan Kuala Lumpur City FC dengan gaya istimewa di padang ketika menentang Imigresen FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, baru-baru ini,

Dalam perlawanan itu, Safawi meraikan gol dengan meletakkan bola di dalam jersinya, simbol lazim mengisyaratkan kehamilan sambil menunjukkan angka dua seolah-olah memberi petunjuk bakal bergelar bapa buat kali kedua.

Gol tersebut merupakan jaringan kedua pasukannya pada minit ke-56 yang membantu KL City membuka kempen Liga Super musim ini dengan kemenangan meyakinkan 3-0.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan selebriti tidak melepaskan peluang mengucapkan tahniah buat pasangan itu.

Untuk rekod, Syifa dan Safawi mendirikan rumah tangga pada 28 November 2022, dan dikurniakan cahaya mata sulung, Saif Sulaiman pada tahun 2023.

Related post

Leave a Reply