Syafiq Kyle Dedah Impian Mimi Lana

Syafiq Kyle Dedah Impian Mimi Lana

Pelakon, Syafiq Kyle, 33, mendedahkan isterinya, Mimi Lana sudah lama menyimpan impian untuk menimang cahaya mata kembar, malah hasrat itu disuarakan sejak sebelum mereka berkahwin lagi.

Menurut pemilik nama penuh Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, keinginan Mimi itu bukan sekadar gurauan, sebaliknya doa besar yang diharapkan dapat dimakbulkan.

“Memang dari dulu Mimi sebut kalau boleh nak anak kembar. Kebetulan, dalam keluarga saya memang ada sejarah melahirkan kembar dan saya difahamkan sebelah Mimi pun ada.

“Jadi, doa-doakanlah untuk dia. Bagi saya, bagus juga bila Mimi kongsi hajat itu supaya ramai orang boleh sama-sama mendoakan,” katanya.

Tambah Syafiq, hantaran Mimi di Threads baru-baru ini bukan hanya berkisar tentang keinginan menimang zuriat, tetapi juga usaha meniupkan aura positif di media sosial.

“Saya ada tanya kenapa dia tulis begitu. Katanya, sekarang ini terlalu banyak benda negatif, gosip dan kontroversi yang buat orang tak seronok baca.

“Jadi dia fikir, kalau ramai orang bercakap tentang benda baik dan mendoakan yang baik-baik, insya-Allah lebih mudah dimakbulkan. Itu mesej sebenar yang dia nak sampaikan,” jelasnya.

Untuk rekod, Syafiq dan Mimi mendirikan rumah tangga pada 14 Februari lalu dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Taiping, Perak.

Related post

Leave a Reply