Konsert Ini Baru Bintang serlah evolusi RTM
KUALA LUMPUR: Lima dekad melahirkan penggiat seni yang kini bergelar tokoh legenda, mana mungkin Bintang RTM yang dianggap program realiti pencarian bakat pertama negara, boleh dipinggirkan.
Datanglah program realiti sama dengan pelbagai konsep dan teknik persembahan, namun Bintang RTM yang melahirkan nama besar seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Allahyarham Rohana Jalil, Rosemaria Abdul Hamid dan Ramlah Ram, memiliki legasi tersendiri dan terus berevolusi sesuai peredaran masa.
Sempena penjenamaan semula Bintang RTM 2024, RTM tampil dengan konsert istimewa meraikan insan kreatif yang lahir daripada program nyanyian dan bakat terbitan stesen penyiaran kerajaan itu, pada Konsert Ini Baru Bintang di auditorium serba baharu di Angkasapuri Kota Media di ibu negara, Ahad lalu.
Pada konsert itu, Auditorium Seri Angkasa menyaksikan lebih 15 bintang popular antaranya Jamal yang juga juara Bintang RTM 1979; Salamiah Hassan (finalis Bakat TV 1971); Safar Ghafar (naib juara Bintang RTM 1983); Ramlah Ram (juara Bintang RTM 1985) dan Abdul Rahman Kamaruddin (juara Bintang Asli 1994) memukau penonton.
Konsert dua jam yang disiarkan secara langsung TV2 itu tambah hangat dengan penyertaan Liza Hanim iatu peserta Golden Teen Search 1996; Ayai Illusi (Bintang RTM 1986); Datin Alyah (Juara Bintang HMI 2000); Felicia Gek (Bintang RTM 2005) dan Aqasha (Bintang RTM 1999).
Turut membuat persembahan Azharina Azhar (Bintang RTM 2001); Dia Fadilla (Bintang Gala 2 1999); Rosario (Bintang RTM 2016) dan Hariz Fayahet (Bintang RTM 2018).
Tidak ketinggalan Hafiz Zainal (Bintang RTM 2018), Haziq Rosebi (Bintang Klasik) dan Eryn Gani (Bintang RTM 2016).
Persembahan semua penyanyi ini mengembalikan memori era kegemilangan program pencarian bakat terbitan RM terutama Bintang RTM sejak awal 1970-an bersama rangkaian lagu yang pernah melonjakkan nama mereka dalam arena seni suara.
Tirai Konsert Ini Baru Bintang dibuka dengan persembahan Rosario dan Eryn Gani mendendangkan lagu berjudul Ready For It.
Seterusnya, bagi mengembalikan zaman kegemilangan Bintang RTM, penonton dihidangkan dengan persembahan lagu malar segar yang popular pada era 1970-an.
Segmen diteruskan dengan Safar mendendangkan lagu Ros Kalas, sebelum pentas diambil alih Abdul Rahman yang tampil dengan lagu Umpan Jinak Di Air Tenang. Ini diikuti paduan suara Salamiah dan Haziq menerusi lagu Berdebar-debar Rasa Hati.
Haziq turut mempersembahkan lagu Lemak Manis yang tular di laman sosial hingga melonjakkan namanya sebagai penyanyi yang berbakat dalam mengalunkan lagu warisan Melayu.
Persembahan diteruskan dengan Ayai yang mendendangkan lagu Segalanya Ku Terima diikuti Ramlah dengan dendangan ‘berhantu’ iaitu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dan Diam Diam Jatuh Cinta.
Pentas Konsert Ini Baru Bintang terus membangkit nostalgia melalui segmen lagu balada dendangan empat penyanyi wanita. Azharina tampil dengan lagu Elergi Sepi diikuti Dia (Aku Masih Setia), Liza (Siapa Sangka Siapa Menduga) dan Alyah (Tak Mungkin Kerana Sayang.
Penonton turut dihiburkan dengan bingkisan daripada bintang kelahiran RTM yang sudah tiada, namun, dendangan mereka terus terpahat di hati. Emosi tersentuh apabila Datuk Aznil Nawawi mendendangkan lagu Allahyarham Sudirman, iaitu Pelangi Petang dengan penuh penghayatan.
Acara diteruskan dengan persembahan medley penyanyi muda, Dr Hafiz Zainal dan Hariz Fayahet dengan lagu yang dipopularkan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Kesetiaan dan Ku Teruskan. Ini disusuli dengan lagu Nothing Compares 2 U dipopularkan mendiang Sinead O’Connor oleh Rosario.
Malam lebih syahdu dengan persembahan duet daripada Aqasha dan Eryn Gani melalui lagu berjudul Shallow yang menjadi runut bunyi bagi filem Hollywood, A Star Is Born.
Liza dan Azharina pula mendendangkan lagu When You Believe yang dipopularkan mendiang Whitney Houston dan Mariah Carey. Seterusnya, Dia dan Alyah tampil dengan lagu ‘evergreen’, Greatest Love Of All dipopularkan Houstan.
Tirai konsert diakhiri Jamal yang digelar Raja Pop, mendendangkan lagu Aku Cinta Padamu dan Aku Penghibur.
Konsert Ini Baru Bintang dikemudikan Awal Ashaari yang juga Pengacara Bintang RTM untuk musim baharu akan datang dengan dibantu, Aznil.
Pada konsert itu, Aznil dan Awal mengumumkan RTM bakal melancarkan Bintang RTM 2024 selepas lima tahun berehat, dengan penjenamaan dan wajah baharu.
Sehubungan itu, RTM akan menganjurkan sesi uji bakat fizikal di seluruh negara. Individu berminat boleh menghantar penyertaan dalam talian sehingga 10 September depan dengan merakam video mendendangkan dua lagu kepada bintangrtm@rtm.gov.my.
Kali terakhir Bintang RTM dianjurkan adalah pada 2018, dengan menyaksikan penyanyi, Hariz Fahayet merangkul gelaran juara yang membawa pulang wang tunai RM20,000 serta trofi.
Hariz juga memenangi Vokal Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.
Uji bakat Bintang RTM 2024 dilakukan secara terbuka dan layak disertai individu yang juga warga negara Malaysia berumur antara 15 tahun hingga 25 tahun.
Mengimbas kembali sejarah pada 1973, istilah Bintang RTM mula digunakan apabila Bakat Radio dan Bakat TV diselaraskan serta digabungkan menjadi Bintang RTM.
Pertandingan akhir pertama disiarkan pada 26 Februari 1974. Seterusnya, Bintang RTM menjadi acara tahunan sehingga 1986.