Siapa ‘Rembat’ Duit Arwah Isteri Ridzokumura?
USAHAWAN Ridzokumura meluahkan rasa kecewa apabila menyedari sejumlah wang yang dianggar berjumlah RM60,000 hingga RM70,000 milik arwah isterinya telah hilang.
Ridzokumura atau nama penuhnya, Abd Ridzuan Abdul Mutalib berkata, dia mengesyaki yang wang tersebut diambil oleh individu yang pernah berada di rumahnya.
“Sampai hati, duit orang meninggal pun nak ambil.
“Bukan orang luar, tetapi orang sekeliling saya sebab yang datang pun kawan-kawan, polis, doktor, forensik dan sebagainya,” katanya pada Selasa menerusi siaran langsung di TikTok.
Ridzokumura bagaimanapun enggan menuding jari dan menuduh mana-mana pihak mengenai kejadian tersebut.
“Saya tak salahkan sesiapa, salah saya sebab tak simpan duit itu. Orang yang ambil itu memang salah, salah dia dekat arwah dan Tuhan.
“Tak elok ambil duit orang yang dah pergi, terkilan saya. Biarlah orang itu jawab dengan Tuhan. Kalau arwah tak maafkan, tak maaf lah dia,” katanya lagi.
Dia menambah, wang yang hilang itu merupakan lebihan simpanan selepas mereka pulang dari Jepun Februari lalu. Difahamkan, wang tersebut disimpan dalam dua sampul tebal di dalam beg arwah isterinya.
“Selepas daripada itu, memang saya tak usik duit itu. Dua tiga hari lepas baru saya sedar.
“Duit bukan sikit, saya anggarkan dalam RM60,000 ke RM70,000. Itu apa yang saya nampak,” katanya sambil memaklumkan yang ada aksesori atau barang perhiasan lain turut hilang.