Sharif Mahu Berdamai Dengan Atu, Rindu Berkumpul Adik-Beradik

Sharif Mahu Berdamai Dengan Atu, Rindu Berkumpul Adik-Beradik

Pelawak, Sharif Kadir mengakui dirinya sanggup menurunkan ego demi memulihkan hubungan bersama adiknya, Atu, selepas kemelut yang melanda mereka sejak kebelakangan ini.

Anggota kumpulan Zero itu turut meluahkan rasa rindu untuk kembali berkumpul bertiga bersama Atu dan seorang lagi adik mereka, Syaiful, seperti suatu ketika dahulu.

Jelas Sharif, sebagai abang dia tidak keberatan untuk memohon maaf sekiranya ada kata-katanya yang tanpa sengaja mengguriskan hati adiknya itu.

“Di hadapan orang ramai ini saya minta maaf ya Atu. Abang minta maaf. Saya harap kita adik-beradik boleh kembali seperti dulu,” katanya.

Tambahnya, jika ada pihak yang menganggap konflik ini berpunca daripada pendedahannya mengenai kisah hidup Atu, dia menjelaskan perkara tersebut tidak pernah dilakukan dengan niat yang buruk.

“Kalau dia anggap ini salah saya sebab cerita mengenai dia terbongkar, sebenarnya saya tak ada niat pun. Tapi perkara itu sudah berlaku dan saya terima seadanya,” ujarnya lagi.

Sharif turut menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dan berbincang bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Kalau dia nak jumpa saya, saya okay. Kalau dia nak saya yang datang jumpa dia pun saya okay,” katanya lagi.

Mengulas usaha untuk berdamai, Syarif tidak menafikan dia telah beberapa kali cuba menghubungi Atu, namun seolah-olah tidak mendapat sambutan yang diharapkan.

“Yeke sebab isu duit? Yeke tak ada usaha dari pihak saya? Berapa kali saya sudah ajak dia jumpa? Orang yang kenal saya tahu saya bukan jenis ego,” tegasnya.

Dalam masa sama, Sharif menegaskan isu kewangan bukan punca utama kepada konflik yang berlaku antara mereka.

Sebagai abang, Sharif mengakui dia berasa sedih dan tidak menyangka isu tersebut menjadi besar sehingga menjejaskan hubungan kekeluargaan mereka.

“Ibu tahu tentang perkara ini. Dia dah biasa sebab dia tahu satu hari nanti kami akan okay juga,” katanya.

Enggan mengulas panjang isu keluarga, Sharif berharap perkara tersebut dapat diselesaikan secara tertutup dan penuh harmoni.

“Kalau dah okay nanti, saya nak panggil semua makan ramai-ramai di rumah. Doakan yang baik-baik untuk adik-beradik serta keluarga saya.

“Kami ada juga jumpa, main bola sama-sama. Cuma biasalah, gaduh adik-beradik. Insya-Allah nanti kami selesaikan,” katanya.

Sebelum ini, kenyataan Sharif dalam sebuah temu bual podcast yang menyentuh kisah hidup Atu, termasuk dakwaan hampir terjerumus dalam penyalahgunaan dadah akibat salah memilih rakan, dikatakan menjadi antara punca tercetusnya konflik antara mereka.

Related post

Leave a Reply