
“Saya Pakai Baju, Cuma Badan Ditutupi Buih”
Pelakon Sophia Albarakbah, 32, menegaskan babak berendam dalam tab mandi menerusi filem Tembuni Berdarah tidak sepatutnya dijadikan isu hangat.
Menurut Sophia, babak itu dilakonkan dengan penuh profesional kerana penting untuk menghidupkan jalan cerita watak yang dibawanya bernama Dr Izara.
“Saya lakukan babak itu kerana ia memang bersesuaian dengan jalan cerita untuk menunjukkan kejadian paranormal yang berlaku pada watak saya.
“Malah, ketika penggambaran saya memakai baju, cuma ia ditutupi buih. Jadi tiada elemen seksi yang perlu dipersoalkan,” jelasnya.
Sophia turut menegaskan, dia tidak bimbang dengan kemungkinan babak tersebut menerima kecaman netizen kerana yakin tidak keterlaluan.
“Saya percaya penonton tidak akan mempersoalkan babak itu sebab tiada yang melampau.
“Kalau ada babak yang tidak sesuai atau terlalu berlebihan hingga tidak selamat untuk tontonan rakyat Malaysia, sudah tentu saya tidak akan terima tawaran itu.
“Sebenarnya, orang patut lebih fokus pada elemen seram seperti darah dan hantu dalam babak itu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Sophia mendedahkan babak paling mencabar sepanjang penggambaran adalah sewaktu di kawasan tanah perkuburan sebenar.
“Babak paling susah dilakonkan ialah ketika berada di kubur kerana itu adalah kawasan sebenar, ditambah pula saya perlu menjerit pada waktu malam.
“Selain itu, babak membaca mantera juga mencabar kerana ia pengalaman pertama saya melakukannya,” ujarnya.