Rebecca Nur Al Islam Tak Percaya Sudah Bercerai – ‘Saya Masih Down’
Pelakon dan usahawan, Rebecca Nur Al Islam, 39, mengakui masih terkejut dengan perpisahan bersama bekas suami, Datuk Norazam Datuk Haji Sulaiman, selepas lebih 14 tahun mendirikan rumah tangga.
Rebecca berkata, dia dan bekas suami sah bercerai pada awal Mei lalu atas sebab yang enggan dikongsikan kepada umum bagi menjaga aib kedua-dua pihak.
“Sejujurnya saya sendiri pun tak sangka perkahwinan saya yang dibina sekian lama akhirnya sampai di sini sahaja.
“Mungkin jodoh kami setakat ini sahaja. Saya rasa tak perlu untuk saya kongsikan punca perpisahan kami kerana akan mengaibkan kedua-dua belah pihak. Selagi kita boleh tutup aib, kita tutuplah,” katanya.
Menurut Rebecca lagi, dia reda menerima ketentuan Ilahi dan melihat ujian yang menimpa dari sudut positif.
“Pada saya, hidup ini sangat singkat. Saya sudah lakukan yang terbaik, jadi saya hanya ikut apa yang sudah tertulis oleh Allah untuk saya. Saya terima walaupun sukar dan rasa seperti tidak percaya,” luahnya penuh reda.
Dalam pada itu, Rebecca berkata, dia mengambil masa untuk memulihkan semangat selepas melalui episod keretakan rumah tangga dan kini perlahan-lahan kembali menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
“Sejujurnya saya masih ‘down’. Ini pun baru kali kedua saya keluar rumah jumpa orang selepas majlis resepsi Fattah Amin dan Amira Othman baru-baru ini.
“Saya banyak mendekatkan diri dengan perkara yang mengingatkan saya tentang akhirat. Tapi bila fikir balik, hidup mesti diteruskan. Saya perlu kuat untuk tujuh orang anak saya,” ujarnya.
Lama meninggalkan dunia lakonan kerana fokus kepada keluarga, Rebecca tidak menolak kemungkinan untuk kembali berlakon namun dengan syarat tertentu.
“Saya mungkin akan ‘demand’, tapi bukan dari segi bayaran. Saya akan ‘demand’ watak dan lokasi penggambaran.
“Saya tak mahu tinggalkan anak-anak lama, terutama jika lokasi jauh. Kehidupan saya kini sudah berubah sepenuhnya selepas bercerai,” katanya.
Rebecca dan bekas suami berkahwin pada 14 Januari 2011. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Nor Anggun Raverra, 13, Nor Anggerik Renesmee, 12, Nor Aliff Al-Raffael, 9, Nor Ahmed Al-Reaggan, 6, Nor Aurora Riana, 6, dan Ammar Rizky, 2 serta seorang anak angkat, Nor Adam Daniel.
