
Penduduk Sangka Kebocoran Gas, Bomba Dipanggil Empat Kali, Bau Durian Cetus Panik di Jerman
Durian mungkin digelar ‘Raja Buah’ dan sangat digemari di Malaysia, namun di Jerman, baunya yang kuat telah mencetuskan panik sehingga menyebabkan beberapa panggilan kecemasan dibuat.
Baru-baru ini, pasukan bomba di Wiesbaden, sebuah bandar di barat Jerman, menerima empat panggilan kecemasan dalam satu hari selepas penduduk melaporkan bau gas yang mencurigakan.
Menurut agensi berita Deutsche Presse-Agentur (DPA), panggilan pertama diterima pada waktu petang daripada sebuah pusat membeli-belah, apabila orang ramai menyangka mereka menghidu bau gas bocor.
Pasukan bomba segera bergegas ke lokasi dan menjalankan ujian, namun tidak menemui sebarang kesan gas di udara.
Lebih mengejutkan, bangunan tersebut sebenarnya tidak disambungkan kepada sistem gas sama sekali.
Beberapa jam kemudian, satu lagi panggilan dibuat dari lokasi yang sama, apabila bau “gas” dikatakan kembali.
Kali ini, pasukan bomba akhirnya berjaya mengesan punca sebenar. Ia berpunca daripada buah durian yang dijual di sebuah pasar raya Asia di dalam kompleks itu.
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa sistem pengudaraan pusat membeli-belah tersebut mungkin telah menyebarkan bau durian ke seluruh bangunan, sehingga membuatkan orang ramai menyangka berlaku kebocoran gas.
Pada malam yang sama, pasukan bomba sekali lagi dipanggil ke kawasan perumahan berdekatan, dan selepas pemeriksaan, mereka mendapati bau itu sekali lagi berpunca daripada buah durian, bukan gas bocor.
Walaupun ramai rakyat Malaysia menganggap durian sebagai buah yang enak dan bernilai tinggi, bau kuatnya sering membuatkan orang asing ‘tidak tahan’ dan keliru.