
Seorang pelajar mendakwa ibu bapanya meminta wang elaun bulanan daripadanya memandangkan dia kini penerima biasiswa.
Menurut ibu bapanya, mereka menganggap pelajar itu sebagai seorang dewasa dan dirasakan perlu untuk memikul tanggungjawab kewangan.
“Macam mana saya nak hentikan ibu bapa saya yang asyik meminta duit biasiswa saya?” tulisnya di Threads.
Dia menambah, walaupun ibu bapanya masih bekerja dan berada dalam keadaan kewangan yang stabil, mereka tetap mempertahankan permintaan tersebut dengan mengatakan ia adalah tanggungjawabnya sebagai seorang anak, lebih-lebih lagi selepas mempunyai sumber pendapatan sendiri.
Hantaran itu pantas menarik perhatian ramai, dengan netizen tampil mempertahankan pelajar tersebut dan mengingatkan bahawa wang biasiswa adalah khusus untuk perbelanjaan berkaitan pendidikan.
Seorang pengguna menyatakan yang pelajar itu belum pun bekerja, dan menganggap ibu bapanya tidak munasabah kerana meminta wang tersebut.
Netizen lain menegaskan ibu bapa masih bertanggungjawab menyara anak yang sedang belajar, sambil menambah bahawa seseorang anak tidak diwajibkan menyokong ibu bapanya dari segi kewangan selagi masih menuntut pelajaran.
Ada juga yang menekankan wang biasiswa adalah hak sepenuhnya pelajar berkenaan, kerana ia bertujuan menampung keperluan seperti buku, bahan pembelajaran dan perbelanjaan harian berkaitan pengajian.
Netizen lain pula menggalakkan pelajar itu supaya bertegas, sambil mengingatkan bahawa selagi dia belum benar-benar berdikari dan mampu menyara dirinya sendiri, kebajikan dan tanggungjawab masih terletak di bahu ibu bapanya.
Habis.



