Pasangan Ini Raih RM12,000 Jual Ketam Raja Tepi Jalan, Habis Dalam 15 Minit

Pasangan Ini Raih RM12,000 Jual Ketam Raja Tepi Jalan, Habis Dalam 15 Minit

Sepasang suami isteri di Kota Bharu, Kelantan mencuri perhatian netizen apabila jualan ketam raja (king crab) mereka di tepi jalan menjadi tular hingga mampu meraih lebih RM12,000 hanya dalam masa 15 minit.

Gerai tersebut diusahakan oleh Mohamad Ikhmal Nur Hakim Mohamad Yusof dan isterinya, Nurul Al Fatonah Awang. Idea itu tercetus apabila Nurul mengidam ketam raja yang kebiasaannya hanya boleh didapati di restoran mewah.

“Untuk penuhi keinginan isteri, saya beli beberapa ekor. Kemudian dia cadangkan supaya kita jual pada harga berpatutan agar lebih ramai dapat merasa makanan laut yang biasanya mencecah ratusan ringgit,” katanya kepada Berita Harian.

Mereka mula menjual ketam raja pada harga RM85 seekor, dan kesemua 150 ekor habis dijual hanya dalam tempoh 15 minit pada hari pertama perniagaan.

Pada mulanya, pasangan itu mengambil tempahan dari rumah dan menghantar kepada pelanggan, namun kerana kekangan masa, mereka beralih kepada jualan di tepi jalan di Lembah Sireh.

Promosi di TikTok dan Facebook turut melonjakkan populariti mereka, malah video pelanggan yang berkongsi pengalaman membeli di gerai itu membuatkan orang ramai mula beratur setiap hari.

“Gerai kami dibuka jam 4 petang dan kini menjadi tumpuan peminat makanan laut yang ingin menikmati hidangan premium pada harga mampu milik,” jelas Ikhmal.

Walaupun permintaan tinggi, Ikhmal mengakui bekalan tetap terhad.

“Saya tidak boleh jual terlalu banyak sehari kerana hanya mahu stok segar, ditambah pula harga dan saiz ketam yang berbeza-beza menyukarkan,” ujarnya.

Nurul pula berkata, rahsia kejayaan mereka adalah kombinasi harga mampu milik dan rasa. Ketam yang dijual telah dimasak siap serta dihidang panas bersama dua jenis sos iaitu cili dan buttermilk.

“Orang lebih suka makanan yang siap dimakan. Sebab itu ketam kami dengan sos sentiasa jadi rebutan,” katanya.

Seorang pelanggan tetap, Azlina Alawi, sanggup datang dari Ipoh semata-mata untuk membeli selepas melihat video tular di TikTok.

“Saya datang semalam tapi habis dijual. Jadi saya datang lagi hari ini. Harganya jauh lebih murah daripada biasa dan memberi peluang lebih ramai merasa ketam raja,” ujarnya.

Related post

Leave a Reply