
Nora Danish Nafi Bakal Berkahwin Dengan Duda Anak 3 Isnin Ini
Menghentikan spekulasi, pelakon, Nora Danish, 43, menafikan dakwaan kononnya dia bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka dikenali sebagai Mickey Ayo pada Isnin.
Menurut pemilik nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif, foto dan video yang tular di media sosial hanyalah sebahagian daripada kempen pemasaran produk, bukannya berkaitan dengan kehidupan peribadinya.
“Assalamualaikum semua. Ramai yang bertanya mengenai foto yang viral baru-baru ini.
“Dengan rasa kasih dan hormat, saya ingin jelaskan bahawa saya tidak akan berkahwin esok (Isnin).
“Foto dan video tersebut hanyalah kempen pemasaran produk dan tidak ada kena mengena dengan saya,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam masa sama, Nora turut menzahirkan penghargaan atas perhatian serta doa daripada peminat yang sentiasa mendoakan kebahagiaannya.
“Saya sangat hargai segala doa dan sokongan anda semua. Harap kenyataan ini dapat meleraikan salah faham yang timbul.
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.
Sebelum ini, foto Nora bersama seorang lelaki berkopiah dan bercermin mata menjadi perbualan hangat netizen.
Ramai beranggapan lelaki tersebut adalah Mickey Ayo, seorang duda anak tiga.
Spekulasi semakin memuncak apabila Mickey muncul dalam sebuah video kempen produk sampin, menyatakan dia masih percaya pada cinta meskipun pernah gagal dalam perkahwinan.
Lebih menguatkan teka-teki, Mickey turut dilihat memakai baju Melayu putih seolah-olah persalinan pengantin, malah tular foto kad undangan perkahwinan dengan inisial M & N bertarikh 8 September 2025.