
Naufal Azrin Pilih 31 Ogos Tamat Zaman Bujang
Penyanyi, Naufal Azrin, 26, selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya, Fatin Farhanah Fauzi pada Ahad.
Memilih tanggal 31 Ogos sebagai tarikh ijab Kabul, pasangan itu melangsungkan pernikahan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Tumpat, Kelantan.
Dengan tiga kali lafaz, penyanyi itu menyerahkan mas kahwin bernilai RM7,000 serta seutas gelang emas kepada isterinya yang bertugas sebagai guru.
“Sudah lama kami saling mengenali dan saya percaya inilah masa terbaik untuk kami melangkah ke fasa seterusnya.
“Kami mula berkenalan melalui Instagram, dan syukur Alhamdulillah doa kami untuk disatukan akhirnya dimakbulkan,” kata Naufal.
Pasangan itu kelihatan sama cantik sama padan dalam persalinan baju pengantin serba putih.
Terdahulu, Azrin dan Fatin mengikat pertunangan pada Februari lalu selepas menjalinkan hubungan cinta selama tujuh tahun.