FINAS sudah jumpa penerbit Mentega Terbang
HULU KLANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah memanggil penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang untuk memberi penjelasan atas dakwaan melanggar Akta FINAS 1981 membabitkan aktiviti pengeluaran dan tayangan tanpa lesen.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, bagaimanapun enggan memperincikan tindakan yang akan diambil terhadap penerbit iaitu Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment, berikutan kes mereka masih disiasat polis.
“FINAS sudah panggil penerbit filem itu untuk siasatan. Semua maklumat berkaitan juga sudah kami kumpul.
“Saya tidak boleh bercakap banyak mengenai perkara ini berikutan kes terbabit masih dalam siasatan polis. Kes ini agak rumit dan perlukan masa.
“Jadi, rasanya kami tidak boleh buat kenyataan sekarang kerana bimbang akan mengganggu siasatan polis,” katanya ditemui pada majlis sidang media Hari Seniman Kebangsaan (HSK) 2023 di Studio Sound Stage, Kompleks FINAS di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Bersama Sambutan HSK 2023, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar .
Sebelum ini, BH Online melaporkan, FINAS mendapati Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment tidak memohon Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) selain tiada lesen pengeluaran filem daripada agensi terbabit.
Filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Mohd Khairi Anwar Jailani, tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam.
Selain itu, dialog watak kanak-kanak perempuan bernama Aishah menjadi perdebatan kerana dianggap boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan penonton.
Sementara itu, mengulas mengenai sambutan HSK 2023 pada 20 Mac ini, Md Nasir berkata, FINAS sudah merangka pelbagai aktiviti untuk menyemarakkan acara bertemakan Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian.
Md Nasir berkata, antara program itu adalah mengundang pelabur dan penggiat industri kreatif dari luar negara untuk berkongsi idea dan teknologi terkini bersama pengkarya tempatan.
“Program itu menjadi titik tolak untuk jalinan kerjasama termasuk meletakkan Malaysia sebagai lokasi penggambaran pilihan.
“Setakat ini, wakil dari tiga negara sudah bersetuju hadir iaitu China, Hong Kong dan Korea Selatan.
“Kami akan berbincang dan bawa mereka melawat ke studio FINAS untuk memberi gambaran teknologi perfileman yang kita gunakan.
“Moga pertemuan ini membuahkan hasil demi pembangunan industri perfileman tempatan,” katanya.
HSK 2023 yang dianjurkan di Studio Sound Stage, FINAS turut dimeriahkan dengan persembahan arti veteran seperti Shaharudin Tamby, Aspalela Abdullah, Junainah M Amin dan ramai lagi.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan HSK disambut pada 22 Mac sempena memperingati hari ulang tahun kelahiran Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Bagaimanapun, sambutan pada tahun ini diawalkan bagi memberi laluan kepada persediaan menyambut Ramadan.
1 Comment
Wah, industri hiburan Malaysia kini semakin meriah dan menarik! Betapa hebatnya melihat bakat-bakat tempatan mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia.
Comments are closed.