Mufti Tegah Umat Islam Ambil Bahagian Dalam Festival Songkran

Festival Songkran merupakan satu acara tahunan yang disambut oleh masyarakat tempatan di Thailand.

Begitupun, sejak beberapa tahun kebelakangan, sambutan berkenaan tidak hanya disambut masyarakat Thailand, malah ada dalam kalangan pelancong yang terbang ke Thailand semata-mata mahu merasai kemeriahan Festival Songkran.

Tidak terlepas pelancong Malaysia yang turut dilihat sama-sama meraikan pesta yang sering dikaitkan dengan air itu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman bagaimanapun menegah umat Islam daripada mengambil bahagian dalam festival Songkran sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Beliau berkata, festival Songkran yang disambut oleh masyarakat Thailand merupakan perayaan tahun baru yang turut memiliki unsur budaya serta ritual keagamaan Buddha.

Ujar beliau, antara amalan yang sering dilakukan termasuk memandikan patung Buddha, menyimbah air sebagai simbol penyucian diri dan memberi penghormatan kepada sami-sami.

“Berdasarkan penelitian terhadap kandungan dan latar belakang festival ini, umat Islam adalah dilarang untuk mengambil bahagian dalam festival Songkran, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, larangan tersebut dibuat berdasarkan hadis nabi yang membawa maksud: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka (Riwayat Abu Daud).

Mohd Sukki Othman menegaskan, sebarang bentuk penyerupaan dalam perayaan agama lain, termasuk dengan alasan budaya atau hiburan, adalah tidak dibenarkan kerana ia boleh membawa kepada kekeliruan akidah serta mencemarkan identiti Islam.

“Festival ini juga sering disertai dengan unsur hiburan melampau, percampuran bebas lelaki dan perempuan, serta pakaian yang tidak menutup aurat dan semua ini jelas bertentangan dengan syariat Islam.

“Justeru, umat Islam diingatkan agar tidak terlibat atau menyertai sebarang bentuk penganjuran, promosi atau kehadiran ke acara Songkran, sebaliknya, isilah masa dengan aktiviti bermanfaat yang selari dengan nilai Islam,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Songkran disambut setiap tahun selama tiga hari mulai 12 April, menandakan permulaan Tahun Baharu Thailand.

Related post

Leave a Reply