MCMC Kompaun Era FM RM250,000, Lesen Tak Digantung

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompau RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd kerana muat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM.

Kompaun itu dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang dipinda pada 11 Februari 2025).

Denda itu dikeluarkan dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara.

MCMC dalam kenyataan hari ini menjelaskan pihaknya juga memutuskan untuk tidak menggantung lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali Era FM, selepas meneliti rayuan syarikat itu terhadap notis penggantungan yang dikeluarkan pada 7 Mac.

Menurut MCMC, keputusan itu mengambil kira hujah yang dikemukakan dalam rayuan, tindakan pemulihan yang telah diambil oleh pemegang lesen, serta permohonan maaf rasmi daripada pihak yang terbabit.

Suruhanjaya itu juga mempertimbangkan kesan penggantungan terhadap Melody dan Mix FM, yang beroperasi di bawah lesen yang sama seperti yang dilaporkan Berita Harian.

MCMC menegaskan komitmennya dalam menangani kandungan dalam talian yang boleh mencetuskan ketegangan agama atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan semua penyiar dan pengguna dalam talian agar bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama serta mematuhi undang-undang negara.

Related post

Leave a Reply