
‘Maaf Cakap, Ramai Pendatang Baharu Belum Sedia Jadi Pelakon’
Pelakon, Datuk Remy Ishak, 43, berpendapat masih ada segelintir pelakon baharu yang belum bersedia untuk benar-benar bergiat dalam dunia seni, sebaliknya sekadar mengejar populariti semata-mata.
Menurut pemilik nama penuh Muhammad Zalimei Ishak, dia sering berdepan dengan pelakon generasi muda yang tidak menunjukkan kesungguhan dan komitmen terhadap kerjaya lakonan.
“Susah nak jumpa yang betul-betul serius sekarang. Maaf saya cakap, kalau nak terasa, terasalah, sebab memang ramai pendatang baharu yang saya jumpa tidak bersedia jadi pelakon.
“Kita mahu industri filem Malaysia pergi lebih jauh, jadi kena beri usaha terbaik. Kalau niat hanya untuk glamor, cukuplah guna media sosial. Tak perlu berlakon kerana bidang ini memerlukan keseriusan dan disiplin,” katanya yang ditemui di majlis pengumuman barisan pelakon filem Khadam.
Tambah Remy, meskipun dirinya bukan lepasan sekolah filem, setiap pelakon wajar bertanggungjawab terhadap karya dan kerjaya mereka.
“Saya sendiri bukan graduan sekolah filem, tapi bila bekerja, saya kena serius. Sekarang ini semakin jarang kita jumpa pelakon seperti Maya Karin, Erma Fatima, Umie Aida, malah generasi Liyana Jasmay dan Sharifah Sakinah pun bagus.
“Pelakon-pelakon dalam kelompok itu sangat menghargai filem, dan itulah yang membezakan mereka dengan segelintir bakat baru,” jelasnya.
Remy dalam masa sama turut memuji gandingan baharunya, pelakon Indonesia Aghniny Haque yang membintangi filem Khadam.
“Semasa sesi bacaan skrip, dia sudah berikan sepenuh jiwa. Itu baru baca skrip tapi energinya sampai kepada semua.
“Setiap pelakon ada imaginasi masing-masing ketika membaca skrip, dan bila sampai giliran dia, terus terasa watak yang dibawanya. Saya fikir dia memang tepat untuk filem ini,” kata Remy lagi.