Lelaki Cedera Dipijak Jemaah Umrah Di Masjidilharam

MALANG tidak berbau… Dua individu yang menunaikan umrah dengan berjalan kaki ke Mekah berdepan situasi yang mencemaskan apabila salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius selepas dipijak jemaah lain yang sedang berebut untuk mencium hajar aswad yang terletak di Masjidilharam.

Mangsa iaitu Muhammad Farhan Khadid yang lebih dikenali sebagai Acik dilaporkan tidak sedarkan diri dan kini dirawat di hospital berhampiran.

Rakannya mangsa, Shamsul Azrin Man, memberitahu kejadian berlaku ketika mereka berdua sedang beribadah dan berdoa di depan Kaabah selepas solat Isyak.

“Ketika kami hendak beredar dari kawasan Hajar Aswad, ribuan jemaah menyerbu untuk mencium batu suci itu dan mereka merempuh kami. Kami terpisah dan jatuh ke lantai.

“Acik tidak sedarkan diri akibat dirempuh, namun Alhamdulillah, seorang jemaah Arab membantu mengangkatnya dari lantai ketika dia sedang dipijak,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, Muhammad Farhan mengalami kecederaan serius di bahagian lutut, kaki dan paha.

“Saya berharap Acik segera sembuh supaya kami dapat meneruskan ibadah umrah kerana kami dijadualkan pulang ke Malaysia pada 30 Mac ini,” katanya.

Muhammad Farhan dan Shamsul Azrin yang berasal dari Kedah memulakan misi berjalan kaki dari Bertam ke Mekah untuk menunaikan ibadah umrah pada 3 Februari lalu.

Mereka yang berjalan kaki dari Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas ke Hatyai kemudiannya menaiki penerbangan ke Jeddah untuk ke Madinah dan akhirnya tiba di Mekah bagi menunaikan umrah sepanjang Ramadan.

Related post

Leave a Reply