Bekas anggota kumpulan NCT, Taeil, 30 dan pihak pendakwa rayanya telah memfailkan rayuan susulan keputusan awal mahkamah dalam kes serangan seksual berprofil tinggi.
Pada 16 Julai, Taeil mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Daerah Pusat Seoul, Bahagian Jenayah 26, yang dipengerusikan oleh Hakim Utama Lee Hyun Kyung. Dua lagi tertuduh bersama yang terlibat dalam jenayah tersebut turut memfailkan rayuan pada hari sebelumnya.
Pihak pendakwa raya juga membantah keputusan mahkamah, dengan menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan terlalu ringan. Mereka pada asalnya menuntut hukuman penjara selama tujuh tahun, sambil menekankan keterukan dan keseriusan jenayah tersebut.
“Sifat jenayah ini sangat serius dan amat menjijikkan dari segi moral,” hujah pihak pendakwa raya.
Pada 10 Julai, Taeil telah ditahan serta-merta selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan ke atas beliau dan dua tertuduh bersama. Ketiga-tiga mereka disabitkan atas kesalahan rogol separa berat di bawah Akta Kes-Kes Khas Berkaitan Hukuman Jenayah Seksual.
“Para tertuduh mengambil kesempatan terhadap keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri untuk melakukan jenayah ini. Jenayah ini amat menjijikkan.
“Mangsa dipercayai mengalami trauma psikologi yang besar akibat kejadian ini,” kata mahkamah dalam penghakimannya.
Taeil dan dua tertuduh lain mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan sepanjang perbicaraan. Dalam rayuannya untuk hukuman ringan, Taeil berkata: “Saya mahu memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan akan berusaha menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya seperti dilaporkan Allkpop
Kes ini berpunca daripada kejadian pada Jun tahun lalu, di mana Taeil dan dua lagi tertuduh didakwa merogol secara berkumpulan seorang wanita warga asing yang ketika itu tidak sedarkan diri. DNA ketiga-tiga pelaku ditemui pada tubuh mangsa.