Lagu BaharuMusic

Keluar Zon Selesa, Cherpen Bawa Chubb-E Demi ‘Patah Hati’

Sekian lama berada di dalam industri muzik tanah air, kumpulan Cherpen meneruskan kesinambungan mereka apabila melancarkan single Patah Hati, sebuah lagu berentak raggae bagi memberikan kelainan.

Menariknya, mereka tidak bersendirian sebaliknya bersama penyanyi rap, Chubb-E, sebagai satu kelainan dalam penghasilan buah tangan kali ini.

Kolaborasi ini tercetus secara tidak dirancang ketika Cherpen sedang mengolah idea lagu tersebut.

Menurut vokalis Cherpen, Nemo, segalanya bermula apabila mereka mencuba menambah elemen rap secara spontan dalam lagu berkenaan.

“Kolaborasi ini bermula bila kami satu band dapat idea semasa mula buat lagu Patah Hati. Pada mulanya, kami saja-saja tambah bahagian rap dan dari situ terfikir untuk cari seorang rapper. Akhirnya, kami jumpa Chubb-E dan terus rasa serasi,” katanya.

Lagu Patah Hati adalah ciptaan bersama anggota Cherpen iaitu Nemo, Kimie dan Syahir bersama Chubb-E manakala lirik pula oleh Nemo, Kimie dan Chubb-E.

Patah Hati mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan yang dekat dengan realiti kehidupan.

Tambah Nemo, inspirasi lagu ini turut dipengaruhi oleh pengalaman peribadi anggota band dan pemerhatian terhadap kisah orang sekeliling.

“Sedikit sebanyak ia memang berdasarkan pengalaman kami sendiri. Kalau kita tengok orang sekeliling, kebanyakannya pernah melalui fasa yang sama iaitu bercinta, putus dan akhirnya patah hati,” jelasnya

Lirik lagu ini ditulis oleh Nemo, Kimie dan Chubb-E dengan mesej utama agar pendengar lebih menghargai insan yang benar-benar mencintai mereka.

“Mesej paling penting dalam lagu ini ialah ‘hargailah orang yang ikhlas mencintai’,” tambah Nemo.

Mengenai komposisi muzik pula, Patah Hati tampil dengan genre reggae, berbeza daripada kebanyakan karya Cherpen sebelum ini yang lebih sinonim dengan balada dan lagu berentak perlahan.

Antara lagu-lagu Cherpen yang pernah mendapat sambutan adalah Pasti, Lepaskan dan Kali Ini yang sering diputarkan menerusi radio tempatan serta mendapat perhatian di platform digital.

Menurut Nemo, perubahan genre muzik ini adalah satu usaha untuk memberi kelainan kepada peminat.

“Sebelum ini, orang kenal Cherpen dengan lagu-lagu ‘slow’ tapi kali ini kami tampilkan lagu bergenre reggae dengan elemen santai dan bersahaja. Tajuknya Patah Hatitetapi muziknya lebih ‘feel good’ dan tidak terlalu ‘muram’,” katanya.

Sementara itu, Chubb-E pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan Cherpen sebagai satu pengalaman bermakna dalam perjalanan karier seninya.

“Bila Cherpen hubungi saya dan tunjukkan demo lagu ini, saya terus tertarik dengan ‘vibes’ lagu ini. Ia bukan sekadar lagu tentang kecewa tetapi tentang menghargai orang yang betul-betul ikhlas mencintai. Proses rakaman pun sangat lancar dan penuh dengan idea.

“Saya harap peminat Cherpen dan juga peminat saya dapat menerima lagu ini. Kami cuba gabungkan dua dunia muzik yang berbeza untuk hasilkan sesuatu yang segar,” katanya.

Single Patah Hati oleh Cherpen ft Chubb-E merupakan lagu terbitan Seventeen Eleven Music sudah dilancarkan secara rasmi minggu ini. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Related Articles

Back to top button