Pelakon, Edika Yusof, 58, meluahkan rasa syukur apabila perkahwinannya bersama isteri, Nor Hidayah Rusli kembali bersatu selepas mereka sah rujuk dalam tempoh idah.
Menurut Edika, pertemuan mereka pada sambutan Hari Bapa lalu menjadi detik penting yang membuka ruang kepada perbincangan hati ke hati hingga membawa kepada keputusan untuk Kembali bersama.
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Selepas bercerai, kami masih berhubung dan tidak bergaduh, cuma kami beri ruang untuk bertenang. Jodoh masih panjang.
“Sampailah Hari Bapa, kami jumpa semula ketika makan bersama anak-anak. Di situlah kami berbincang dan sepakat untuk kembali bersama,” katanya dilaporkan Kosmo.
Walaupun sudah sah rujuk, Edika menjelaskan mereka belum tinggal sebumbung kerana masih dalam proses mendapatkan sijil nikah baharu serta memberi ruang untuk diri masing-masing bermuhasabah.
“Kami tidak mahu terburu-buru. Biarlah semuanya disahkan secara rasmi dahulu. Apa pun, kami saling bersikap positif dan kenang semula detik indah lebih 20 tahun bersama.
“Saya seorang lelaki yang setia. Kalau kereta pun saya pakai bertahun-tahun sebab sayang, apatah lagi pasangan hidup,” katanya lagi.
Sebelum ini, spekulasi mengenai Edika dan Nor Hidayah sudah kembali bersama tersebar apabila pelakon drama Maria Mariana itu berkongsi hantaran di Instagram yang memaparkan kapsyen dirinya sebagai suami.
Rata-rata netizen ketika itu menebak pasangan berkenaan telah rujuk dalam tempoh idah, namun tiada pengesahan rasmi sehinggalah Edika tampil membuat pendedahan.
Untuk rekod, Edika dan Nor Hidayah mendirikan rumah tangga pada tahun 2003.
Hubungan mereka pernah menjadi inspirasi ramai apabila Edika kekal setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata. Nor Hidayah juga memiliki seorang anak hasil perkahwinan terdahulu.