Jaga Sensitiviti, Universal Music Malaysia ‘Turunkan’ Video Muzik ‘Question’ Kumpulan Dolla

Jaga Sensitiviti, Universal Music Malaysia ‘Turunkan’ Video Muzik ‘Question’ Kumpulan Dolla

Syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan orang ramai terhadap penampilan ahli kumpulan Dolla dalam video muzik terbaharu mereka, ‘Question’ yang didakwa tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.

Perkara itu turut merujuk kepada kenyataan terkini daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang menyuarakan pandangan mengenai isu berkenaan.

Susulan itu, Universal Music Malaysia membuat keputusan menurunkan video muzik tersebut daripada semua platform digital sebagai langkah bertanggungjawab serta bagi menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menjelaskan keputusan itu dicapai selepas pihaknya meneliti semula keseluruhan kandungan produksi dan menerima maklum balas daripada masyarakat.

“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.

“Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.

“Kami percaya kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat.

“Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya.

Universal Music Malaysia turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan lebih ketat, merangkumi perbincangan dalaman dan konsultasi profesional bagi mengelakkan isu seumpama itu berulang.

Pihak syarikat turut merakamkan penghargaan kepada peminat dan masyarakat yang memberi maklum balas secara terbuka serta membina dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tempatan.

Related post

Leave a Reply