
Pelakon, Izara Aishah, 34, kini sedang hamil anak ketiga dengan usia kandungannya dilaporkan memasuki usia tujuh bulan.
Perkara itu didedahkan menerusi perkongsian jenama fesyen terkenal yang memuat naik foto koleksi busana Syawal terbaharu menampilkan aktres berkenaan sebagai wajah utama kempen.
“Izara kini hamil anak nombor tiga. Tahniah. Kolaborasi tahun ini sangat istimewa kerana kami mendapat ‘muse’ yang sedang hamil,” tulis jenama tersebut dalam sebuah hantaran.
Dalam masa sama, perkongsian itu turut menyampaikan mesej positif kepada para ibu hamil agar tidak berasa gusar untuk tampil bergaya ketika menyambut Aidilfitri.
“Ini membuktikan ibu-ibu tidak perlu risau. Walaupun sedang hamil, masih boleh bergaya, selesa dan tampil cantik di pagi raya,” jelasnya.
Sementara itu, Izara di ruangan komen mengesahkan berita gembira berkenaan.
“7 months (tujuh bulan),” tulisnya ringkas.
Untuk rekod, Izara mendirikan rumah tangga bersama Adib Khalid pada 17 November 2017. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Irisa Alaia, 6, dan Amara Amina, 2 tahun.



