Isu Seksi, Liyana Jasmay Terima Teguran Dengan Hati Terbuka

Isu Seksi, Liyana Jasmay Terima Teguran Dengan Hati Terbuka

Pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay, 37, memilih untuk berlapang dada terhadap teguran pendakwah bebas, PU Syed, yang menegur penampilannya dikatakan terlalu seksi.

Menurut Liyana, sebagai anak seni, dirinya sudah terbiasa berdepan dengan pelbagai kritikan. Justeru, dia enggan cepat melatah atau mengambil hati terhadap komen yang diterima.

“Apa sahaja komen sama ada baik atau buruk, saya terima dengan hati terbuka. Tidak pernah timbul rasa marah atau sakit hati.

“Malah, saya sentiasa memandang teguran itu dari sudut positif. Semoga doa yang baik akan kembali semula kepada saya dan juga mereka yang mendoakan,” katanya.

Ujar pelantun lagu Aku Tak Percaya Cinta itu lagi, selagi kritikan tidak melibatkan ibu bapanya, dia tetap berlapang dada serta memaafkan sesiapa sahaja yang menegur.

“Yang bercakap buruk tentang saya pun, saya maafkan. Kalau ada silap, tegurlah. Saya tidak pernah ambil hati, kecuali jika ia melibatkan keluarga, khususnya ibu bapa,” jelasnya.

Mengulas mengenai kritikan terbuka PU Syed, Liyana mengakui dia jarang membaca komen atau pandangan netizen di media sosial, kecuali dimaklumkan oleh orang sekeliling.

“Saya tidak ambil masa untuk membaca komen di media sosial kerana itu hak masing-masing untuk bersuara. Sebagai selebriti, semua orang berhak memberi pandangan.

“Jadi, apa sahaja yang mereka mahu katakan, saya tidak halang dan tidak marah. Bagi saya, lebih baik tumpukan perhatian pada perkara bermanfaat kerana terlalu banyak kerja yang perlu saya selesaikan,” luahnya.

Terdahulu, Liyana menerima kecaman netizen selepas tampil dengan gaya yang dianggap terlalu seksi. Namun, dia tetap tenang dan menjadikan teguran positif sebagai panduan untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.

PU Syed sebelum ini menegaskan setiap individu perlu menilai tindakan berdasarkan hukum agama. Menurutnya, sesiapa yang memulakan sesuatu amalan buruk akan menanggung dosa bukan sahaja untuk dirinya, malah bagi mereka yang mencontohinya.

Related post

Leave a Reply