Hanya 5 Bulan Beroperasi, Kedai Bakeri Zahnita Wilson Terpaska Ditutup

Hanya 5 Bulan Beroperasi, Kedai Bakeri Zahnita Wilson Terpaska Ditutup

Model dan usahawan, Zahnita Wilson, 40, membuat keputusan untuk menutup kedai pai dan bakeri miliknya yang terletak di Seri Kembangan, Selangor meskipun hanya sempat beroperasi selama lima bulan.

Menurut Zahnita, keputusan tersebut dibuat selepas menyedari dirinya tidak mampu menanggung tekanan dalam menguruskan operasi harian perniagaan selain berdepan dengan isu peribadi yang semakin menekan emosi serta fizikal.

“Saya menekan butang panik sekali lagi kerana saya tak fikir mampu meneruskannya. Saya tak kuat untuk teruskan lagi perniagaan ini, jadi saya berhasrat menutup kedai dan kembali sebagai home baker,” katanya dalam sebuah hantaran.

Tambah Zahnita, perjuangannya mengendalikan perniagaan itu bukan sesuatu yang mudah kerana menuntut banyak pengorbanan dan tenaga.

“Perjuangan ini amat berat sebenarnya. Terlalu banyak perkara yang perlu saya uruskan dalam satu masa,” katanya lagi.

Dalam video berkenaan, Zahnita turut mengucapkan penghargaan kepada semua pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaannya sejak mula beroperasi.

“Terima kasih kepada semua pelanggan yang menyokong saya selama ini. Saya sangat menghargainya,” ujarnya penuh syukur.

Walaupun sedih dengan keputusan menutup kedai, Zahnita yakin langkah itu adalah pilihan terbaik buat masa ini demi kesejahteraan dirinya.

Perniagaan yang dikenali sebagai Zahnita Humble Pie itu mula beroperasi dari rumah pada hujung tahun lalu sebelum berkembang menjadi kedai fizikal pada 1 Jun lalu selepas menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Difahamkan, Zahnita menceburi bidang perniagaan sebagai usaha menampung kehidupan selepas berdepan kemelut rumah tangga.

Tahun lalu, ibu kepada empat cahaya mata itu memfailkan penceraian terhadap suaminya, Abd Zackery Ghouse, 47.

Related post

Leave a Reply