Fazura Serah Jodoh Kepada Allah, Mahu Bakal Suami Memahami Agama

Fazura Serah Jodoh Kepada Allah, Mahu Bakal Suami Memahami Agama

Pelakon dan usahawan, Nur Fazura, 42, menyerahkan sepenuhnya soal jodoh dan perkahwinan kepada ketentuan Allah SWT selain memohon orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Menurut Fazura, dia tidak menolak untuk kembali bergelar isteri suatu hari nanti meskipun pernah melalui episod perceraian dengan bekas suami, aktor Fattah Amin.

“Kahwin atau tidak bukan urusan manusia, tapi urusan Allah. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk saya, bukan orang lain,” katanya dalam satu siaran langsung baru-baru ini.

Tambah Fazura, sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh baharu, dia berharap lelaki tersebut dapat menyayangi dirinya dan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya sepenuh hati.

Malah, aktres itu tidak menolak kemungkinan jodohnya datang dari negara jiran, Indonesia.

“Kalau jodoh orang Indonesia pun, siapa tahu, mungkin itu yang terbaik. Saya cuma mahu pasangan yang diredai Allah, memahami agama, bertanggungjawab dan penyayang.

“Semoga doa-doa saya dimakbulkan Allah, semoga hadir lelaki yang menyayangi saya dan Fatima, yang boleh membimbing kami dan sama-sama melalui susah senang hingga ke akhir hayat,” ujarnya lagi.

Dalam satu video lain, anaknya Fatima turut mencuri perhatian apabila secara spontan menjawab “nak” ketika ditanya oleh Fazura sama ada dia mahu mempunyai seorang bapa baharu.

Fazura berkata, dia menyerahkan kepada anaknya untuk menilai sendiri mana-mana lelaki yang bakal hadir dalam kehidupan mereka.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah Amin mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 sebelum berpisah pada 2024.

Related post

Leave a Reply