Sungguhpun sudah berbulan lamanya Barbie Hsu meninggal dunia, namun, suaminya DJ Koo didakwa masih setia melawat kubur mendiang isteri tersayang setiap hari.
Hal ini didedahkan oleh seorang netizen di Threads, yang pergi ke tanah perkuburan Chin Pao San, Taiwan, lokasi di mana Barbie Hsu bersemadi untuk melakukan penziarahan.
Ketika berada di sana, individu terbabit melihat kelibat DJ Koo yang sedang duduk berseorang di sisi kubur mendiang isterinya.
Menerusi hantaran Threads berkenaan, DJ Koo dilihat seolah-olah sedang menemani isterinya dengan tenang, sungguhpun berada di bawah pancaran matahari yang terik.
Individu yang menziarahi kubur Barbie Hsu memberitahu, DJ Koo mengucapkan terima kasih kepadanya kerana hadir mengingati mendiang isterinya.
“Terpancar rasa sedih pada wajahnya, dan ia kelihatan cukup ikhlas. Dia lelaki paling setia yang pernah saya jumpa,” tulis individu berkenaan seperti dilaporkan Wierdkaya.
Sementara itu, beberapa individu yang hadir untuk berziarah dan pekerja di Chin Pao San turut mengesahkan yang DJ Koo datang ke tanah perkuburan berkenaan setiap hari.
Seorang netizen turut mengiyakan dakwaan berkenaan dan memberitahu DJ Koo tetap hadir sungguhpun ketika sedang hujan.
Difahamkan, ketika berada di tanah perkuburan tersebut, DJ Koo sering dilihat membaca, menggunakan tablet dan membersihkan kawasan perkuburan.
Selain itu, DJ Koo dikatakan duduk di sana dalam tempoh yang agak lama, kadang-kadang duduk bersendirian dan kadang-kala ditemani dengan alunan muzik lembut.