Disangka Harimau, Rupanya Babi Hutan… Wanita Cemas Cetus Misi Menyelamat di Bukit Dinding

Disangka Harimau, Rupanya Babi Hutan… Wanita Cemas Cetus Misi Menyelamat di Bukit Dinding

Seorang wanita yang mendaki Bukit Dinding, Wangsa Maju, Kuala Lumpur mencetuskan satu operasi menyelamat selepas dia mendakwa dirinya dikejar oleh seekor haiwan yang disangkanya harimau.

Menurut hantaran Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, kejadian itu dikatakan berlaku pada 6 September lalu.

Sekitar pukul 1.03 tengah hari, wanita berkenaan menghubungi APM untuk meminta bantuan, memaklumkan dia sesat di bukit berkenaan dan ketakutan selepas seekor haiwan liar mula mengejarnya.

Wanita itu dilaporkan memberitahu penyelamat yang dia dikejar harimau, menyebabkan APM segera menghantar dua pasukan penyelamat terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Lumpur ke lokasi kejadian.

Sekitar pukul 1.36 tengah hari, pasukan penyelamat menemui wanita tersebut. Dia berada dalam keadaan panik serta mengalami sesak nafas akibat ketakutan dan kebimbangan yang dialaminya.

Dalam kenyataan, APM menjelaskan bahawa berdasarkan penerangan wanita itu, haiwan berkenaan berkemungkinan besar adalah babi hutan dan bukannya harimau.

Wanita tersebut kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Related post

Leave a Reply