“Dalam Hidup, Tak Lari Daripada Orang Yang Berhasad Dengki” – Siti Sairah

“Dalam Hidup, Tak Lari Daripada Orang Yang Berhasad Dengki” – Siti Sairah

Penyanyi, Siti Sairah, 42, membuka mulut mengenai hantaran berbaur peringatan yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini yang mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

Walaupun ramai mengandaikan hantaran itu ditujukan kepada individu tertentu, Sairah menegaskan ia sekadar luahan hati yang sudah lama terbuku.

Menurutnya, hantaran berkenaan bukanlah serangan atau sindiran kepada mana-mana pihak, sebaliknya refleksi perasaannya sendiri.

“Apa yang saya tulis itu cuma rasa yang lama terpendam. Dah luah, biarkan sahaja. Tak perlu saya jelaskan atau ungkit lagi. Dalam hidup ini memang kita tak lari daripada orang berhasad dengki,” katanya.

Sairah berkata, dia berusaha mengajar anak-anaknya untuk kekal positif meskipun berdepan individu yang bersifat iri hati.

“Saya sendiri tak pernah bersikap negatif pada orang. Kalau ada sesiapa yang rasa ikut bisikan hati yang jahat itu, cepat-cepatlah beringat. Perasaan begitu tak bawa manfaat. Lebih baik doakan yang baik untuk semua,” ujarnya.

Ibu kepada lima cahaya mata itu turut mengakui insiden yang dikaitkan dengan anaknya, Amad Dayyan baru-baru ini didakwa membabitkan unsur gangguan mistik membuatkan dirinya lebih berwaspada.

“Apa pun yang berlaku, keluarga tetap nombor satu. Saya akan lindungi mereka dalam apa jua keadaan.

“Saya ini jenis tak sangka buruk pada orang. Tapi bila perkara sedemikian terjadi, saya perlu lebih berhati-hati,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sairah mencuri tumpuan apabila memuat naik hantaran peringatan yang dipercayai menyindir individu tertentu yang melakukan perbuatan buruk terhadap dirinya dan keluarga.

“Hentikan niat dan perbuatan buruk itu. Allah tahu. Allah masih melindungi aib awak daripada diketahui orang lain,” tulisnya dalam hantaran itu.

Related post

Leave a Reply