Buka Tirai 2026, Akim & The Majistret Pertaruh Juliet

Setelah sekian lama tidak mengeluarkan karya terbaharu, Akim & The Majistret (ATM) akhirnya mengeluarkan single terbaharu berjudul Juliet, sebuah karya yang sarat emosi, keberanian dan kejujuran perasaan.
Juliet adalah hasil ciptaan anggota band sendiri manakala lirik ditulis oleh Bunga Cantik. Lagu ini mengetengahkan naratif cinta yang tidak bersandarkan kesempurnaan, sebaliknya diraikan melalui keberanian untuk jujur dan setia kepada perasaan sendiri.
Menurut vokalis utama ATM, Akim Ahmad, Juliet membawa maksud yang lebih mendalam berbanding sebuah kisah cinta biasa.
“Bagi saya, Juliet adalah mengenai keberanian untuk mencintai dengan jujur walaupun dunia di sekeliling kita sering memaksa kita berpura-pura. Lagu ini dekat dengan realiti mengenai hubungan, keikhlasan dan bagaimana kita mempertahankan perasaan walaupun berdepan dengan cabaran,” katanya.
Tambah Akim, proses rakaman Juliet turut memberikan pengalaman berbeza buat beliau dan seluruh anggota kumpulan.
“Kami mahu setiap lagu yang dikeluarkan ada jiwa. Juliet lahir daripada perbincangan panjang dalam studio mengenai apa yang kami rasa sebagai manusia, bukan hanya sebagai pemuzik. Saya harap pendengar boleh merasakan emosi itu bila mereka mendengar lagu ini,” ujarnya lagi.
Single terbaharu Juliet ini hadir selepas beberapa karya terdahulu ATM berjaya mencatat pencapaian membanggakan di platform digital. Antara lagu paling berjaya ialah Potret yang merekodkan 33 juta tontonan di YouTube dan kekal menjadi antara lagu wajib permintaan peminat dalam setiap persembahan langsung mereka.
Selain itu, single Rampas dan Mewangi turut memperlihatkan sambutan luar biasa peminat apabila masing-masing mencatat 18 juta dan 14 juta tontonan di YouTube serta mengungguli carta radio tempatan, sekaligus mengukuhkan reputasi ATM sebagai antara kumpulan rock moden paling konsisten di Malaysia.
Saksama, single terakhir ATM yang dikeluarkan pada tahun 2023 berjaya memenangi anugerah Lagu Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi ke-24 dan tempat ke-3 Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-39.
Kejayaan berterusan ini bukan sahaja membuktikan kekuatan vokal Akim Ahmad, malah keserasian beliau bersama barisan pemuzik ‘The Majistret’ dalam menampilkan muzik yang relevan dengan generasi masa kini tanpa mengorbankan elemen ‘jiwa’ dan keaslian karya.
Dengan rekod pencapaian besar lalu, Juliet dijangka mampu mengulangi kejayaan single terdahulu dan terus menambat hati pendengar, khususnya dalam kalangan peminat setia ATM yang sentiasa menantikan kelainan serta kematangan dalam setiap karya terbaharu mereka.
Dengan susunan muzik yang kemas, melodi yang kuat serta lirik yang puitis, Juliet dilihat sebagai satu lagi bukti kematangan ATM dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, malah mampu menyentuh perasaan pendengar.
Single Juliet terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik pada 9 Januari lalu.



