Berat Badan Jimin BTS 59.7 Kilogram Cetus Reaksi Berbeza Netizen

Topik berkaitan berat badan dalam industri hiburan K-Pop sering menjadi perdebatan, dengan sesetengah pihak bimbang ia menyumbang kepada budaya gangguan pemakanan (eating disorder) atau norma tubuh yang tidak sihat.
Perdebatan mengenai berat badan tercetus sekali lagi selepas anggota kumpulan BTS, Jimin berkongsi berat badannya yang terkini.
Menerusi foto yang dimuat naik di Instagram Story, Jimin mendedahkan berat badannya kini adalah 59.7 kilogram.
Berat tersebut dilihat menyusut berbanding 67.8 kilogram ketika dia menjalani wajib ketenteraan.
Ramai dalam kalangan netizen memberi reaksi terhadap pendedahan tersebut.
Namun, sebahagian besar perbincangan bukan tertumpu kepada angka itu sendiri, sebaliknya membandingkan reaksi yang diterima Jimin dengan kemungkinan reaksi jika perkara sama dilakukan oleh idola wanita.
“Bayangkan kalau idol wanita yang muat naik perkara ini,” tulis seorang pengguna.
“Ia pasti akan jadi kecoh jika idol wanita berkongsi perkara seperti ini,” kata seorang lagi.
Dalam masa sama, ramai juga tampil mempertahankan Jimin dengan mengingatkan bahawa dia seorang dewasa yang mampu menguruskan kesihatan dan tubuh badannya sendiri, selain tidak menyasarkan sesiapa melalui perkongsiannya.
“Kenapa Jimin dikecam hanya kerana berkongsi berat badannya? Dia tidak memperlekehkan sesiapa pun,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi menambah: “Peringatan: dia seorang dewasa yang tahu menjaga diri. Selagi berat badannya tidak berada di bawah tahap sihat, tolong berhati-hati dengan komen anda.”



