Anak Ina Naim Mahu Teruskan Legasi Seni Arwah Suhaimi Saad

Anak kepada pasangan selebriti Allahyarham Suhaimi Saad dan Ina Naim iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 17, mengakui keputusan menyertai program realiti Talk To My Manager kerana mahu meneruskan legasi seni arwah bapanya.

Hadie berkata, walaupun tidak bersekolah secara formal, minatnya terhadap nyanyian mendorongnya untuk membuktikan kemampuan di pentas hiburan.

“Saya mahu sambung legasi ayah kerana itu antara hasrat terakhirnya. Selain membanggakan ibu, saya mahu memulakan semula karier nyanyian yang ayah pernah tinggalkan.

“Harapan saya cuma satu, mengharumkan nama kedua orang tua, walaupun saya bukanlah bersekolah normal seperti orang lain,” katanya.

Hadie yang juga anak sulung daripada empat beradik, menganggap program tersebut sebagai peluang memulakan langkah sebagai penyanyi profesional.

“Arwah ayah pesan supaya seni tidak lari daripada dakwah. Dalam nyanyian juga sebenarnya kita boleh sebarkan dakwah.

“Platform ini bukan sekadar hiburan, tetapi peluang membina kerjaya dan mengembangkan perancangan bisnes pada masa depan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ina Naim pula menyokong penuh langkah anaknya dan menganggap peluang ini sebagai anugerah selepas suaminya dahulu terpaksa menolak tawaran serupa kerana masalah kesihatan.

“Kali ini Allah beri peluang pada anak. Kalau tidak dapat harumkan nama ibu, harumkanlah nama ayah. Dalam setiap persembahan, ingatkan arwah ayah dan buat yang terbaik.

“Ingat lagi, dulu masa arwah ayahnya masih ada, pernah juga dapat tawaran program seperti ini di Astro. Tapi sebab sakit dan jarak yang jauh, dia tolak,” kongsi Ina.

Related post

Leave a Reply