‘Ada Sanggup Bayar RM5,000 Nak Tahu Lokasi Saya’ – Ardell

‘Ada Sanggup Bayar RM5,000 Nak Tahu Lokasi Saya’ – Ardell

Pelakon dan aktivis kemanusiaan Ardell Aryana, 35, mendedahkan dirinya pernah menerima ugutan sebaik pulang ke tanah air selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.

Menurut Ardell, walaupun berdepan pelbagai ancaman, perkara itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Orang kecam saya, tapi tidak beri kesan pun. Ada yang sampai sanggup tawar RM5,000 kepada pengurus saya semata-mata nak tahu lokasi saya berada.

“Tapi saya tak takut dan tak gentar. Apa yang saya buat adalah untuk kebenaran,” ujarnya dalam satu sesi siaran langsung di TikTok.

Jelas Ardell, keberanian yang dimilikinya datang daripada semangat solidariti terhadap rakyat Gaza yang masih bergelut mempertahankan kehidupan di tanah air sendiri.

“Saya bukan berhenti buat siaran langsung sebab takut, walaupun saya tahu pihak musuh turut menonton. Teruskan perjuangan, jangan berhenti sebarkan kesedaran. Suara kita memberi kesan besar dan itu yang mereka takut,” katanya lagi.

Dalam siaran langsung sama, Ardell turut menjelaskan keadaan dirinya yang sebelum ini menyepi daripada media sosial selepas pulang ke Malaysia pada 7 Oktober lalu.

Katanya, dia kini lebih banyak menumpukan masa menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan pemotongan kaki akibat komplikasi penyakit kencing manis.

“Saya minta maaf sebab lama diam. Saya sebenarnya sibuk jaga emak. Emak baru lepas pembedahan. Saya sendiri yang mandikan dan bersihkan luka. Alhamdulillah, saya kuat sebab nak buat yang terbaik untuk emak,” luahnya.

Berkongsi mengenai misi kemanusiaan GSF, Ardell mengakui belum bersedia untuk bercerita panjang mengenai pengalaman sepanjang pelayaran ke Gaza.

“Belum masanya untuk saya cerita sepenuhnya tentang misi bot itu. Saya nak pulihkan diri dan tunggu emak betul-betul sihat dulu,” jelasnya.

Ardell turut meluahkan rasa terharu dengan sambutan hangat orang ramai yang menantinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari kepulangannya.

“Saya tak sempat nak ucap terima kasih masa tu. Ramai datang sambut, siap beri saya al-Quran, ada yang beri tiga naskhah. Saya sangat terharu,” katanya penuh syukur.

Untuk rekod, Ardell merupakan antara 23 aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Related post

Leave a Reply