Pensyarah Universiti Dipecat Lepas Ludah Juruwang

Pensyarah Universiti Dipecat Lepas Ludah Juruwang

Seorang pensyarah dari Universiti Islam Makassar (UIM), Indonesia, telah dipecat selepas video memaparkan dia meludah ke arah seorang juruwang pasar raya viral dan menjadi bualan masyarakat.

Minggu lalu, pensyarah yang dikenali sebagai Amal Said itu dirakam meludah ke arah seorang juruwang pasar raya berusia 21 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai N. Rakaman CCTV kejadian tersebut kemudiannya tular di media sosial, lapor Detik.

Bercakap kepada media Indonesia, N berkata dia menyedari Amal telah memotong barisan di hadapan dua pelanggan lain. Apabila lelaki itu sampai ke kaunter, N meminta maaf kepadanya terlebih dahulu dan memintanya beratur dari belakang.

Menurut N, Amal terus memarahinya, menggeser bakul beli-belah di atas kaunter dan dengan kasar menyuruhnya mengimbas barangan sahaja. Amal dikatakan mengamuk dan menuduh juruwang tersebut memberikan perkhidmatan pelanggan yang buruk.

N kemudian memilih untuk mengalah kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan. Namun sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya, Amal meludah ke arahnya.

Dia juga didakwa mengancam untuk melaporkannya kepada pihak atasan dan menuntut permohonan maaf. Selepas itu, Amal meninggalkan pasar raya bersama barangan belinya.

Sementara itu, N terus ke tandas untuk mencuci mukanya. N menjelaskan, air ludah lelaki itu terkena pada wajah, tudung dan uniformnya sehingga meninggalkan trauma mendalam.

N kemudian membuat laporan polis selepas dipujuk oleh keluarganya.

Pada 26 Disember, Detik mengesahkan pihak polis telah menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam kenyataan kepada media pada 27 Disember, Amal berkata tindakannya adalah bersifat manusiawi dan emosinya tidak terkawal selepas berdepan dengan perkhidmatan pelanggan yang disifatkannya tidak memuaskan.

Menjelaskan pendiriannya, Amal menafikan telah memotong barisan dan mendakwa hanya berpindah ke kaunter lain kerana merasakan pelanggan lain tidak menuju ke kaunter tersebut.

“Terdapat lima kaunter dibuka. Pelanggan lain tidak menunjukkan tanda-tanda hendak ke kaunter yang kosong. Jadi saya bergerak ke situ. Itu tidak salah, bukan?” katanya.

Tambah Amal, N pada awalnya tidak membantah dan terus mengimbas barangan. Namun dia mula berang apabila juruwang itu mempersoalkan tindakannya yang tidak mengikut barisan.
Amal mendakwa dia berasa dihina dan tidak dihormati walaupun usianya jauh lebih tua. Menurutnya, perbuatan meludah itu adalah reaksi spontan yang tidak dapat dikawal.

“Tindakannya membuatkan saya emosi. Saya berasa tersinggung kerana disuruh beralih kaunter. Saya terfikir, siapa budak ini untuk melayan saya sebegitu rupa. Saya orang tua, rambut pun sudah putih,” katanya.

Dia turut menjelaskan yang dia tidak berniat meludah ke muka juruwang itu dan mendakwa air ludah hanya terkena pada pakaiannya pada bahagian perut.

Dalam satu sidang media yang diadakan di UIM pada 29 Disember, Rektor universiti, Muammar Bakry, mengumumkan keputusan institusi itu untuk memecat Amal daripada jawatannya sebagai pensyarah madya.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas siasatan dalaman oleh jawatankuasa tatatertib universiti mendapati Amal telah melanggar kod etika institusi.

Muammar juga memohon maaf bagi pihak universiti dan berharap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak, khususnya Amal.

Susulan pemecatan tersebut, Amal akan ditempatkan semula di Lembaga Perkhidmatan Pendidikan Tinggi Wilayah (LLDikti) sebagai penjawat awam.

Ketika ditanya mengenai statusnya sebagai penjawat awam, Ketua LLDikti wilayah, Andi Lukman, menegaskan bahawa pemecatan penjawat awam tidak boleh dilakukan serta-merta.

“Kami perlu menyiasat kes ini terlebih dahulu, mengesahkan kesalahan, serta menilai hukuman sama ada ringan atau berat. Siasatan akan dijalankan,” katanya.

Related post

Leave a Reply