Kertas Matematik Tambahan SPM 2025 Undang Tekanan, Ramai Pelajar Hilang Harapan
Ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berlangsung, para pelajar di seluruh negara giat mengerah segala usaha untuk menghafal dan memahami pelbagai topik sebelum menduduki peperiksaan yang mungkin paling penting dalam hidup mereka.
Namun begitu, terdapat satu subjek yang benar-benar menguji ketahanan mental pelajar, termasuk yang biasanya tenang iaitu Matematik Tambahan.
Kekecewaan jelas dirasai oleh mereka yang menduduki kertas peperiksaan tersebut, dengan ramai pelajar meluahkan rasa tertekan dan tidak puas hati di media sosial selepas peperiksaan.
Hal ini turut dirasai seorang pelajar yang meluahkan perasaan menerusi video TikTok.
“Siapa pun yang sediakan kertas Matematik Tambahan ini memang tak berhati perut. Kami betul-betul ‘dibelasah’!” katanya.
Seorang lagi pelajar berkongsi di Threads dengan nada yang sama, mengatakan dia sudah tidak lagi meletakkan harapan tinggi untuk mendapat keputusan yang baik kerana soalan yang diberikan tidak ‘straightforward’.
“Pada mulanya saya sasarkan A-, tapi lepas jawab Kertas 2, saya pun tak tahu nak sasarkan apa lagi. Tapi sekurang-kurangnya semuanya sudah berakhir,” tulisnya.
Selain harapan untuk memperoleh markah cemerlang yang semakin pudar, tekanan daripada kertas Matematik Tambahan itu juga dilaporkan menyebabkan sesetengah pelajar mengalami tekanan emosi yang serius.
Menurut laporan Kosmo!, ibu bapa mendakwa anak mereka pulang dari sekolah dengan mata merah dan bengkak akibat menangis tanpa henti kerana terlalu tertekan dengan peperiksaan tersebut.
Seorang lagi ibu berkata, dia sendiri takut untuk bertanya kepada anaknya tentang prestasi peperiksaan kerana percaya anaknya antara ramai pelajar yang menganggap kertas Matematik Tambahan itu mustahil untuk dijawab.
Dia turut meluahkan rasa simpati terhadap pelajar yang telah menghabiskan berjam-jam untuk membuat persediaan awal.
Untuk makluman, peperiksaan SPM yang bermula pada 3 November dijadualkan berakhir pada 23 Disember ini.
