Aiman Hakim Hampir Tinggalkan Set Penggambaran ‘Bad Cop’

Aiman Hakim Hampir Tinggalkan Set Penggambaran ‘Bad Cop’

Pelakon, Aiman Hakim Ridza, 36, mendedahkan penglibatannya sebagai watak utama dalam drama bersiri Astro Originals, Bad Cop memberi kesan mendalam terhadap emosinya sehingga dia mengalami fasa kemurungan yang agak serius sepanjang penggambaran.

Aiman berkata cabaran membawakan dua watak kembar, Emir dan Imar, menuntut komitmen mental yang tinggi sehingga menyebabkan emosinya terganggu dan hampir membuatkan dia berputus asa sebelum naskhah itu diselesaikan.

“Keadaannya memang sangat berat, namun tidak sampai terlintas ke arah membunuh diri. Saya jadi gelisah kerana watak tersebut sangat jauh daripada diri sebenar saya.

“Ada ketika, semasa menghubungi isteri, saya tidak sedar sedang bercakap seolah-olah masih berada dalam dunia watak imaginasi.

“Saya luahkan kepadanya bahawa saya sudah terlalu penat dan terfikir untuk meninggalkan set penggambaran. Dari segi mental, saya benar-benar keletihan,” katanya.

Dalam pada itu, suami kepada aktres Zahirah MacWilson itu bersyukur kerana sokongan padu daripada isteri dan anak-anak menjadi kekuatan utama untuk memulihkan semula kesihatan mentalnya.

“Biasanya saya boleh melepaskan watak dengan cepat, tetapi kali ini kesannya berpanjangan. Alhamdulillah, kehadiran isteri dan anak-anak banyak membantu saya kembali stabil.

“Isteri menenangkan saya, menyuruh saya berehat, solat serta berbincang dengan pengarah Jason Chong dan penulis, V Kavivarmen.

“Apabila berjumpa semula dengan mereka, saya dibantu untuk menenangkan diri dan keluar daripada watak tersebut,” ujarnya.

Selain Aiman, drama arahan Jason Chong itu turut dibintangi Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan Alvin Wong.

Related post

Leave a Reply