
Seorang pemilik restoran menafikan dakwaan kakitangannya mengitar semula lebihan makanan untuk dijual semula, selepas sebuah video tular menunjukkan seorang pekerja membasuh sisa makanan di belakang premis.
Insiden yang mencetuskan perhatian meluas di media sosial itu telah mendorong siasatan oleh pihak berkuasa kesihatan dan menyebabkan restoran berkenaan diarahkan tutup sementara.
Bagaimanapun, pemilik restoran tersebut, Fadzil A. Bakar mendakwa sisa makanan yang dibasuh itu sebenarnya bertujuan untuk diberikan kepada haiwan terbiar.
Menerusi sebuah video di TikTok, Fadzil menafikan tuduhan bahawa restorannya membasuh lebihan makanan untuk dijual semula kepada pelanggan.
Menurut laporan New Straits Times, dia menjelaskan proses membasuh dilakukan bagi menyingkirkan minyak dan rempah daripada sisa makanan sebelum ia diberikan kepada individu yang memberi makan kepada haiwan terbiar.
Fadzil menegaskan yang penjualan semula makanan lebihan adalah tidak munasabah kerana makanan yang telah dimasak akan cepat rosak dan mengeluarkan bau tidak menyenangkan yang mudah dikesan oleh pelanggan.
“Saya mempunyai 14 buah restoran dan ini adalah kali pertama saya berdepan isu seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia turut memaklumkan seorang pencinta haiwan telah mengumpul sisa makanan dari restoran itu sejak beberapa tahun lalu untuk memberi makan kepada kucing dan burung.
Seorang lelaki dikenali sebagai Manikandan Krishnasamy, yang kerap mengambil sisa makanan tersebut, mengesahkan yang dia sendiri meminta agar lebihan itu dibasuh terlebih dahulu, menurut New Straits Times.
Katanya, sisa makanan yang berminyak boleh menyebabkan masalah kulit seperti kudis (mange) kepada haiwan, justeru beliau meminta restoran membilas makanan itu sebelum didermakan.
Fadzil mencadangkan keadaan mungkin bertambah buruk akibat salah faham yang melibatkan seorang pekerja baharu warga Pakistan, lapor Sinar Harian.
Dia berkata, pekerja tersebut mungkin tidak memahami arahan yang diberikan dan secara tidak sengaja memberi gambaran bahawa makanan itu dibasuh untuk digunakan semula, sedangkan ia sebenarnya untuk haiwan.
“Dia baru mula bekerja di restoran dan tidak begitu faham Bahasa Melayu,” katanya.
Fadzil turut memaklumkan pekerja berkenaan kini menghilang, menyukarkan pihak pengurusan mendapatkan penjelasan lanjut.
Dia juga mengkritik individu yang merakam dan menyebarkan video tersebut, dengan menyatakan mereka sepatutnya berjumpa pihak pengurusan terlebih dahulu dan bukannya terus menularkan perkara itu.
Menurut laporan New Straits Times, Fadzil juga mendakwa individu terbabit memasuki kawasan dapur tanpa kebenaran, yang menurutnya boleh dianggap sebagai satu kesalahan.
“Jika mereka tidak berpuas hati atau melihat sesuatu yang tidak kena, mereka sepatutnya berjumpa pengurusan terlebih dahulu, bukan terus menjadikannya tular.
Saya tidak menafikan reputasi saya tercalar akibat kejadian ini. Namun, tindakan individu yang merakam video itu adalah salah, dan memasuki dapur kami tanpa kebenaran juga merupakan satu kesalahan,” katanya.
Pemilik restoran itu mengesahkan satu laporan polis telah dibuat dan beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.
Insiden tersebut dikongsi oleh seorang pengguna media sosial yang mendakwa menyaksikan kejadian itu di belakang premis sekitar jam 12.18 tengah hari pada Selasa lalu.
Fadzil berkata, bersetuju dengan siasatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selepas video berkenaan menarik perhatian pihak berkuasa.
Restoran itu kemudiannya diarahkan tutup sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, selain notis kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Notis penutupan itu berkuat kuasa sehingga 17 Februari.



