BeritaGlobal

55 Hari Koma, Budak 8 Tahun Bangun Lepas Dengar Suara Rakan-Rakan Sekelas

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di China jatuh koma selepas terlibat dalam kemalangan kereta pada November 2025.

Menurut South China Morning Post (SCMP), Liu Chuxi mengalami kecederaan otak yang serius serta kecederaan paru-paru. Barisan doktor memaklumkan kepada keluarga Chuxi yang peluangnya untuk kembali sedar adalah sangat tipis.

Begitupun, ibu Chuxi enggan berputus asa dan membawa anaknya ke beberapa buah hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Seorang doktor kemudian mencadangkan agar bunyi yang biasa didengari oleh anaknya digunakan untuk merangsang bahagian tertentu otak dengan harapan dapat membantu sedar semula.

Susulan cadangan doktor tersebut, ibunya mengambil keputusan untuk memainkan lagu bangun pagi sekolah dan lagu senaman pagi yang sering didengari anaknya setiap hari.

Guru Chuxi turut membantu dengan mengatur rakan sekelasnya untuk merakam video mesej khas buatnya.

Dalam salah satu video, seorang rakan sekelas berkata: “Chuxi, cepatlah bangun, jom kita main bola sepak sama-sama,” ucap rakannya.

Seorang lagi rakan sekelas meluahkan rasa rindu: “Kalau kamu boleh dengar kami, tolong buka mata. Peperiksaan dah dekat dan kami menunggu kamu kembali belajar bersama kami,” katanya.

Menurut laporan, ada rakan sekelas yang menyanyikan lagu kegemaran Chuxi, manakala yang lain berkongsi cerita lucu dari kelas.

SCMP turut melaporkan ibu Chuxi memainkan rakaman video rakan sekelasnya serta rakaman pelajaran matematik di sisi katilnya setiap hari.

Selepas 45 hari, Chuxi mula menggerakkan kelopak matanya dan beberapa hari kemudian dilihat tersenyum apabila mendengar suara gurunya.

Pada hari ke-55, Chuxi akhirnya kembali sedar dan mampu menggerakkan tangan kirinya.

Guru dan rakan-rakan sekelasnya kemudian melawat Chuxi di hospital sambil membawa mainan dan kad ucapan. Guru tersebut turut berseloroh yang Chuxi akan dikecualikan daripada kerja rumah.

Menurut laporan media China, keadaan kesihatan Chuxi semakin bertambah baik, namun dia masih perlu melalui tempoh pemulihan yang panjang.

Ibu Chuxi memberitahu media tempatan yang satu keajaiban telah berlaku dan menyatakan rasa terima kasihnya kepada para doktor, guru serta rakan-rakan sekelas anaknya.

Related Articles

Back to top button