Ahli Dimalukan – Seniman Mahu Tindakan Tegas
PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) memandang serius isu yang di hadapi oleh salah ahlinya, Ellie Suriaty Omar yang dipersendakan oleh seorang pempengaruh media sosial, Imran Bard dalam video yang dimuat naik ke platform TikTok baru-baru ini.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, pihaknya tidak berdiam diri dan sedang menjalankan kajian serta mendapatkan nasihat beberapa pihak sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan terkait isu tersebut.
“Sebagai sebuah pertubuhan yang melindungi ahli-ahli yang bernaung dibawah Seniman, kami memandang isu ini sebagai satu isu yang amat mendukacitakan dan berlaku tanpakawalan yang sewajarnya.
“Seniman amat bersimpati dengan Ellie atas kejadian yang berlaku dan menggesa pihak berkuasa untuk tidak berkrompromi dalam hal-hal sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Rentetan daripada isu tersebut, Seniman menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk segera menurunkan kandungan yang dikaitkan dengan pelakon berkenaan.
Selain itu mereka juga meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pelaku atas konten yang dihasilkan dan mahu Imran membuat permohonan maaf secara terbuka dihadapan Ellie dan disiarkan di media tempatan.

“Seniman berharap agar Ellie dapat membuat satu laporan polis dan membawa laporan tersebut kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia agar perkara ini boleh disiasat dan diambil tindakan segera.
“Sekiranya ada laporan dibuat, maka kertas siasatan boleh dibuka dan tindakan boleh diambil. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu diberikan pengajaran kepada semua pengguna media sosial agar perkara sama tidak berulang lagi,” tambah Hafiz.
Dalam pada itu, Hafiz mengingatkan kepada semua pihak agar berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya mempergunakan nama ahli Seniman dalam kandungan mereka.
Foto: Utusan Malaysia