Nora Danish Ambil Masa Padam Gambar Lama
KEPUTUSAN Nora Danish untuk menyerahkan kesemua pakaian lamanya yang mendedahkan aurat dipuji oleh kebanyakan pihak. Mereka menganggap hijrahnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui sementelah dia pernah melalui zaman kegemilangan yang penuh dengan warna warni.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, kesemua pakaian tersebut tidak dijual kepada mereka yang beragama Islam kerana bimbang anak mendapat ‘saham’ sekiranya dipakai semula orang mereka.
“Semua pakaian saya dari era berpakaian seksi diberikan kepada rakan-rakan bukan Islam. Saya tidak boleh menjualnya kerana dikhuatiri akan menanggung dosa mereka yang memakainya.
“Semua pakaian itu sudah lama saya berikan dan tidak lagi menyimpannya,” katanya yang mula berhijrah sejak Oktober tahun lalu.
Mengakui perjalanan hijrahnya tidak semudah yang disangka, paling sukar untuk menetapkan hati dan terus istiqamah untuk terus menjadi insan yang lebih baik.
“Berhijrah itu mudah tetapi untuk istiqamah bukan sesuatu yang senang. Istiqamah perlu dilihat dari pelbagai aspek termasuk menjaga solat di awal waktu dan banyak lagi.
“Saya sentiasa berharap dan berdoa kepada Allah agar perasaan sedih serta rasa berdosa ini kekal dalam diri saya selamanya.
“Jika ditanya mengenai petua untuk istiqamah, saya sendiri tiada jawapan. Apa yang boleh dilakukan adalah terus berdoa agar dikelilingi oleh orang-orang yang baik,” tambah pelakon yang popular dengan drama Puteri ini lagi.

Tidak cukup dengan itu, wanita yang berusia 42 tahun ini dalam proses memadamkan sebahagian gambar lama yang mendedahkan aurat di dalam media sosial miliknya.
Jelasnya, dia memerlukan masa untuk memadamkan gambar tersebut memandangkan jumlah asal sebanyak 26,000 hantaran di Instagram.
“Saya sebenarnya perlu memadam semua gambar yang tidak menutup aurat di Instagram tetapi ia mengambil masa kerana jumlahnya sekitar cukup banyak dan memerlukan masa.
“Setakat ini, saya sudah memadam beberapa ribu gambar, tetapi masih banyak lagi yang perlu diteliti satu persatu. Bila melihat kembali gambar-gambar lama, saya terfikir, ‘apalah yang aku buat dulu’.
“Namun, saya percaya ia sebahagian daripada perjalanan hidup. Jika saya tidak melalui fasa-fasa itu, mungkin saya tidak akan merasai penyesalan seperti sekarang,” tambahnya lagi.