5 Tahun Menduda, Sharnaaz Ahmad Mengaku Kadang Rasa Sunyi Tanpa Teman

5 Tahun Menduda, Sharnaaz Ahmad Mengaku Kadang Rasa Sunyi Tanpa Teman

Pelakon, Sharnaaz Ahmad, 40, mengakui tidak terburu-buru mencari pasangan hidup meskipun sudah lima tahun membawa status duda.

Bagi Sharnaaz, soal jodoh bukan sesuatu yang perlu dikejar, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia bahagia dengan fasa kehidupannya kini yang dipenuhi dengan rezeki dari pelbagai sudut.

“Saya tak tahu kerana semua itu perancangan Allah SWT. Kalau ada jodoh, saya boleh saja bernikah, tiada masalah. Tapi buat masa ini Tuhan sudah beri macam-macam rezeki, kesihatan pun baik.

“Kalau Allah hendak bagi jodoh, pasti akan beri. Cuma sekarang belum sampai masanya, belum jumpa yang betul-betul sesuai,” katanya ketika ditemui pada tayangan gala filem Magik Rompak.

Sharnaaz menegaskan, soal jodoh bukanlah keutamaannya ketika ini. Sebaliknya lebih senang membiarkan perkara itu hadir pada waktu yang tepat tanpa perlu dikejar.

“Saya bukanlah mencari yang ‘perfect 10’. Tak perlu pun. Bagi saya, biarlah jodoh itu datang sendiri. Kalau kita yang mencari, belum tentu orang itu menyayangi kita seperti mana kita menyayanginya.

“Tapi kalau dia yang datang kepada kita, itu tandanya ikhlas sepenuhnya. Jadi jagalah baik-baik,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Mengulas mengenai kehidupan peribadi, Sharnaaz tidak menafikan pernah didekati mahupun cuba mendekati beberapa wanita. Namun, semuanya hanya sekadar berkawan tanpa berlanjutan ke arah lebih serius.

“Memang ada yang mendekati, saya pun ada cuba berkawan. Tapi sekadar berkawan lebih baik. Kalau nak cakap serius, setakat ini memang tak ada. Kalau ada nanti, saya akan beritahu.

“Saya sebenarnya gembira, cuma bila sakit, Hari Raya atau waktu berbuka puasa, masa macam itu terasa juga perlukan teman. Tapi secara keseluruhannya, saya okay saja, tiada masalah,” kongsinya.

Untuk rekod, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila pada 31 Mac 2017 sebelum bercerai pada 9 Julai 2020. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.

Related post

Leave a Reply