Zizie Ezette Padam Semua Gambar Di IG
Pelakon, Zizie Ezette, 47, mencuri perhatian ramai apabila didakwa memadam semua gambar di akaun Instagram miliknya dan hanya meninggalkan profil itu kosong tanpa sebarang hantaran.
Satu-satunya kemas kini yang dikongsi melalui Instagram Story ialah video majlis tahlil malam ketiga Allahyarham suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang disertakan kapsyen ringkas “Tahlil malam ketiga”.
Tindakan drastik itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengikut kerana tiada penjelasan diberikan mengenai sebab Zizie memadam keseluruhan arkib gambarnya.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu akibat kegagalan buah pinggang serta jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam satu hantaran dikongsikan sebelum ini, Zizie menzahirkan rasa syukur atas segala kebaikan arwah suaminya dan mengakui semua nasihat Allahyarham akan sentiasa menjadi pegangan dalam hidupnya.
Untuk rekod, Zizie dan Allahyarham Bung Moktar mendirikan rumah tangga pada 2009 dan pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata.
