
Yuji Terkilan ‘Old Love’ Kalah Di AIM24, Pertikai Kriteria Penjurian
Penyanyi dan komposer muda, Yuji, meluahkan rasa terkilan selepas lagu popularnya Old Love bersama Putri Dahlia tidak berjaya membawa pulang trofi Lagu Paling Tinggi Distrim di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Menurut Yuji, keputusan itu agak mengejutkan kerana Old Love merekodkan jumlah strim jauh lebih tinggi berbanding lagu yang diumumkan sebagai pemenang.
“Old Love dah capai lebih 360 juta strim di Spotify, tapi AIM anugerahkan kemenangan kepada lagu lain yang hanya sekitar 12 juta strim untuk kategori ‘Lagu Strim Terbanyak Malaysia’.
“Sejujurnya, saya tak marah pada Ernie Zakri. Saya cuma tak faham kenapa RIM dan AIM tak pilih Old Love sebagai pemenang,” tulis Yuji menerusi hantaran di Threads.
Walaupun kecewa, Yuji menjelaskan dirinya tidak ada rasa iri hati terhadap Ernie, sebaliknya hanya mahukan penjelasan lebih jelas mengenai kriteria penjurian yang digunakan.
Untuk rekod, kategori tersebut dimenangi lagu Masing-Masing ciptaan Ade Govinda yang dipersembahkan oleh Ernie Zakri.
Sementara itu, Old Love yang cukup sinonim dengan peminat lagu berbahasa Inggeris turut tersenarai dalam Top 5 Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, namun trofi tersebut menjadi milik Daiyan Trisha menerusi lagu My Home Is In Your Arms.