
Warga Bangladesh Mahu Terus Menetap Di Malaysia, Akui Raih Pendapatan RM5,000 Sebulan
Satu temubual jalanan di TikTok tular selepas seorang pekerja Bangladesh secara terbuka berkongsi pandangannya mengenai kehidupan dan kerjaya di Malaysia sepanjang 10 tahun lalu.
Dalam temubual ringkas itu, lelaki berkenaan mendedahkan yang dia memperoleh pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan ketika bekerja di Malaysia.
Apabila ditanya sama ada dia merancang untuk pulang ke Bangladesh dalam masa terdekat, dia menjelaskan yang dia tidak mahu pulang ke kampung halamannya.
“Saya tak mahu balik. Saya okey di Malaysia, kerja saya okey, tidur saya okay… semuanya okay di Malaysia. Bangladesh tak okay,” katanya.
Dia turut berkongsi yang dia bekerja 10 jam sehari tanpa cuti, namun kelihatan berpuas hati dengan kehidupannya di sini.
Lelaki itu memberitahu bahawa dia sudah berada di Malaysia selama sedekad dan tidak mempunyai perancangan untuk meninggalkan negara ini.
Walaupun terikat dengan waktu kerja panjang, dia tetap menzahirkan rasa puas hati terhadap pekerjaan serta keadaan hidupnya, sambil berulang kali menyebut: “Semuanya okay.”
Klip video yang dimuat naik oleh @syokgeng itu kini meraih lebih 1 juta tontonan dan lebih 3,000 komen, dengan ramai netizen terkejut mendengar jawapannya yang begitu jujur.