Wanita Luah Rasa Kesal, Dakwa Pekerja Asing Gunakan Alamat Rumah Untuk Dapatkan Makanan Percuma

Seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berkenaan seorang pekerja asing yang didakwa cuba mendapatkan makanan percuma secara licik dengan menggunakan alamat rumahnya tanpa pengetahuan.

Menurut laporan mStar, wanita itu terkejut apabila seorang penghantar makanan tiba di depan rumahnya walaupun dia tidak membuat sebarang pesanan.

“Tiba-tiba loceng rumah berbunyi dan rider hantar makanan. Suami saya tanya sama ada saya ada order apa-apa, saya kata tak ada.

“Kami terus periksa sampai kami sedar salah seorang pekerja yang tengah baiki jalan belakang rumah kami yang buat pesanan tu,” katanya.

Wanita itu menjelaskan bahawa lelaki tersebut yang merupakan seorang pekerja asing yang terlibat dengan kerja jalan raya berdekatan rumah mereka didakwa menggunakan alamat rumahnya ketika membuat pesanan makanan melalui aplikasi penghantaran.

Pekerja itu kemudiannya mendakwa aplikasi tersebut ‘automatik mengesan’ alamat itu berdasarkan lokasi tempat letaknya kenderaan di belakang rumah mereka.

Namun keadaan menjadi lebih rumit apabila rider menghubungi pekerja berkenaan dan dia dengan selamba memberitahu bahawa dia tiada wang untuk membayar makanan tersebut.

Atas rasa simpati, suami wanita itu membayar harga makanan itu.

“Dia kata tak ada duit, tapi boleh pula order makanan online?

“Suami saya kesiankan dia sebab kerja tengah panas terik, jadi dia bayarkan RM15 tu,” luahnya.

Apa yang lebih mengelirukan, katanya, apabila penduduk tempatan dari sebuah surau berdekatan menawarkan makanan percuma, pekerja itu dikatakan menolak, barangkali kerana tidak kena dengan cita rasanya.

“Dia buat macam tak ada apa-apa. Kami pun tak kenal dia, tapi dia tolak makanan yang orang surau tawarkan. RM15 tu bukan isu, tapi ketidakjujuran tu yang buat kami rasa tak sedap hati,” tambahnya lagi.

Selepas perkongsian itu tular, wanita berkenaan menjelaskan bahawa niatnya bukan untuk memalukan lelaki tersebut atau mencetuskan kontroversi.

“Kalau saya nak viral, saya dah letak nama, gambar dan lokasi dia. Rider tu pun tunjuk nama dia pada kami.”

“Suami saya bayar sebab rasa simpati, moga Tuhan balas kebaikan dia. Saya cuma rasa tak sedap hati sebab saya rasa lelaki tu tak jujur,” tutupnya.

Related post

Leave a Reply