BeritaViral

Wanita Acheh Pengsan Lepas Disebat 140 Kali Gara-Gara Hubungan Luar Nikah, Minum Alkohol

Seorang wanita di Banda Aceh, Indonesia, dilaporkan pengsan selepas dikenakan hukuman sebat sebanyak 140 kali di tempat awam oleh polis syariah kerana melakukan hubungan seks di luar perkahwinan dan minum minuman beralkohol.

Lelaki yang terlibat turut dikenakan hukuman yang sama, iaitu 140 sebatan.

Pasangan itu disebat di bahagian belakang badan menggunakan rotan di sebuah taman awam, dengan kehadiran puluhan orang sebagai penonton.

Selepas menerima hukuman sebatan tersebut, wanita berkenaan dilaporkan pengsan dan kemudian dibawa ke ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Ketua polis syariah Banda Aceh memberitahu AFP pasangan itu dikenakan 100 sebatan kerana melakukan hubungan seks di luar perkahwinan dan 40 sebatan lagi kerana mengambil alkohol, lapor CBS News.

Jumlah sebatan itu dipercayai merupakan hukuman paling berat yang pernah dikenakan sejak undang-undang syariah dilaksanakan di wilayah Aceh pada tahun 2001.

Pasangan berkenaan merupakan antara enam individu yang dikenakan hukuman rotan kerana melanggar undang-undang syariah.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang mengamalkan undang-undang syariah.

Untuk rekod, Gerakan Aceh Merdeka pernah berjuang menentang kerajaan Indonesia untuk menubuhkan sebuah negara merdeka sehingga satu perjanjian damai dimeterai pada tahun 2005.

Selepas itu, Aceh diberikan autonomi yang luas untuk melaksanakan undang-undang sendiri, termasuk undang-undang syariah.

Kerajaan Aceh menyatakan bahawa undang-undang syariah hanya terpakai kepada penduduk beragama Islam di wilayah tersebut.

Related Articles

Back to top button