Music

Wajah Siti Nurhaliza Sekali Lagi Terpampang Di New York

Ikon muzik negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mengharumkan nama tanah air apabila dipilih sebagai wakil kempen Spotify EQUAL bagi Singapura dan Malaysia untuk bulan Mac 2026.

Pemilihan kali kedua ini sekali gus membuktikan pengaruh besar Siti dalam industri muzik serantau, selain mengangkat suara wanita ke peringkat lebih tinggi di platform penstriman global.

Melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut, Siti menyifatkannya sebagai satu penghormatan yang cukup bermakna sepanjang perjalanan seninya.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapura dan Malaysia merupakan satu penghormatan yang cukup bermakna,” katanya.

Menurut Biduanita Negara itu, kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa karya berkualiti mampu bertahan merentasi zaman, walaupun industri kini berkembang pesat dalam era digital.

Sebagai figura wanita berpengaruh, Siti melihat pencapaian ini bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya simbol kekuatan dan peranan wanita dalam memacu industri muzik.

“Ini bukan hanya kejayaan individu, tetapi mesej bahawa suara wanita mampu menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” ujarnya.

Dalam masa sama, Siti turut menitipkan pesanan kepada bakat baharu khususnya penyanyi wanita agar memberi fokus kepada kualiti karya berbanding mengejar populariti sementara.

“Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti seni yang kukuh serta disiplin dalam menjaga vokal penting untuk kekal relevan merentas zaman,” jelasnya lagi.

Tambahnya, artis masa kini juga perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan trend semasa tanpa mengabaikan asas seni, selain memiliki ketahanan mental serta sikap positif dalam mendepani cabaran industri.

Pemilihannya sebagai wakil kempen Spotify EQUAL sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon muzik serantau, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan memartabatkan suara wanita dalam industri.

Related Articles

Back to top button