Video Isteri Angkat Bayi Sambut Suami Bekerja Kutip Sampah Undang Sebak Netizen

Video Isteri Angkat Bayi Sambut Suami Bekerja Kutip Sampah Undang Sebak Netizen

Sepotong video TikTok yang memaparkan seorang wanita warga Singapura mendukung bayi sambil melambai ke arah suaminya yang sedang bekerja di atas lori sampah telah menyentuh hati ribuan netizen.

Dalam klip tersebut, seorang lelaki yang memakai seragam pengurusan sisa dilihat tersenyum dari atas lori sampah, sementara isterinya mendukung anak perempuan mereka yang berusia tujuh bulan.

Keluarga kecil itu saling bertukar pandangan penuh kasih sayang ketika lori berkenaan perlahan-lahan bergerak meninggalkan tempat letak kereta kawasan perumahan HDB, iaitu kawasan kediaman mereka.

Bercakap kepada 8world News, wanita berkenaan, Nora, berkata, suaminya telah menghantar mesej kepadanya pada pagi itu, memaklumkan yang dia akan berada di kawasan berhampiran.

Nora kemudian mengambil keputusan untuk membawa anak mereka turun ke bawah rumah.

“Saya mahu anak kami tahu apa yang ayahnya lakukan, dan biar dia tahu kami bangga dengannya kerana bekerja keras menyara keluarga,” kata Nora.

Menurutnya, dia tidak memaklumkan perkara itu lebih awal kepada suaminya kerana mahu memberi kejutan. Apabila melihat mereka, suaminya terus bertanya: “Apa yang kamu buat di sini?”

Bayi mereka juga cuba menghulurkan tangan untuk dipeluk, namun si bapa memilih untuk tidak mendukung anaknya kerana badannya kotor kerana bekerja.

Nora turut mendedahkan yang suaminya sebelum ini bekerja sebagai penghantar bunga, namun baru-baru ini bertukar pekerjaan sebagai pembantu lori sampah demi pendapatan yang lebih baik.

“Bukan mudah sejak kebelakangan ini. Namun dia pergi bekerja setiap hari dengan kekuatan yang tenang, penuh keazaman dan maruah,” katanya.

Nora berharap suatu hari nanti anak mereka akan memahami pengorbanan ayahnya dan berasa bangga dengan insan yang digelarnya ayah.

Video tersebut kini telah meraih lebih 290,000 tontonan dan 12,000 tanda suka di TikTok.

Related post

Leave a Reply