Usop Wilcha, Nubhan, Mark Adam & Rahmat Ekamatra Antara 13 Peserta GV12

Usop Wilcha, Nubhan, Mark Adam & Rahmat Ekamatra Antara 13 Peserta GV12

Program realiti popular Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) kembali lagi tahun ini dengan barisan peserta yang cukup menarik, merangkumi penyanyi dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Antara nama yang diumumkan menyertai musim terbaharu ini ialah Nubhan, Usop Wilcha (Shy8), Mark Adam, Rahmat Ekamatra, Korie, Krisya, Mell Sakura, Datuk Elaine Kang dan kumpulan Freshies.

GV12 turut menampilkan penyertaan antarabangsa dengan kemunculan penyanyi dari Indonesia seperti Shae, Ruri Repvblik dan kumpulan Mendua, manakala Iskandar Ismail mewakili Singapura.

Barisan juri tetap masih mengekalkan gandingan mantap Datuk Ramli MS selaku ketua juri bersama Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.

Untuk musim ini, Nabil Ahmad sekali lagi diberi kepercayaan sebagai hos utama buat tahun ke-12 berturut-turut bergandingan dengan Sherry Alhadad.

Ketika ditemui, Nubhan mengakui tidak mahu melepaskan peluang untuk kembali ke pentas besar selepas ditawarkan oleh pihak produksi.

“GV ialah platform besar untuk mana-mana penyanyi. Bila ditawarkan, saya rasa rugi kalau tolak,” katanya.

Sementara itu, pelakon dan pelawak Usop Wilcha mendedahkan dia terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak Astro.

“Saya tanya mereka, adakah mereka gila? Dah lama saya tak menyanyi! Tapi saya anggap ini peluang untuk saya kembali ke dunia nyanyian,” selorohnya.

Bagi Mark Adam pula, penyertaannya dalam GV12 lebih bersifat peribadi.

“Antara sebab utama saya masuk GV ialah untuk gembirakan isteri saya. Dia suka tengok saya menyanyi dan terus terang, beras di rumah pun dah habis, jadi ini juga rezeki,” katanya berseloroh.

Gegar Vaganza 12 akan mula bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 2 November 2025, setiap Ahad jam 9 malam, menerusi saluran Astro Ria (104).

Related post

Leave a Reply